Tuah cubaan pertama
KUALA TERENGGANU : Percubaan pertama seorang peniaga menyertai Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 di Dataran Shahbandar, di sini, semalam, membawa tuah apabila dinobatkan sebagai juara kategori Individu.
Kemenangan itu membolehkan Hamed Hamzah Awang, 45, dari Chendering, di sini, membawa pulang wang tunai RM3,000 serta hadiah iringan hasil kejayaannya menaikkan sotong sepanjang 46 sentimeter (sm).
“Sepatutnya semalam (kelmarin) saya berniaga tetapi membuat keputusan saat akhir untuk menyertai pertandingan ini semata-mata mahu merasai kemeriahan mencandat sotong,” katanya yang berharap program anjuran akhbar nombor satu itu diteruskan pada masa akan datang.
Gelaran juara kategori Ber kumpulan Terbuka menjadi milik Balai Berita Ajil, The New Straits Times Press (M) Berhad apabila berjaya memperoleh tangkapan seberat 29.24 kilogram sekali gus membawa pulang RM3,000 serta hadiah iringan.
Ketua kumpulannya, Saipuddin Alias, 44, berkata kepakaran tekong dan kerjasama antara ahli kumpulan menjadi faktor kemenangan mereka.
“Itu antara panduan yang selalu kami amalkan jika mencandat. Cara kerja kami yang bertugas pada waktu malam juga memberi kelebihan untuk kekal berjaga sepanjang malam hingga awal pagi untuk berusaha mendapatkan hasil lumayan,” katanya. Sementara itu, Mohd Nazari Ali, 50, dari Kampung Seberang Takir, di sini, muncul juara kategori Bot Laju apabila berjaya menaikkan sotong sepanjang 31 sentimeter.
Source: Harian Metro




