Khairi, Norhisham terpilih saksi aksi Euro di Ukraine
IMPIAN menjadi kenyataan dan pasti itulah ungkapan yang akan diucapkan dua pemenang utama Peraduan Sorak Goool! anjuran Harian Metro yang menghadiahkan tiket menyaksikan perlawanan Euro 2012 di Ukraine, bermula minggu depan.
Daripada ribuan penyertaan diterima, tuah nyata memihak kepada Khairi Sabirin Hood dan Norhisham Idris, semalam, apabila pemilihan peringkat akhir dikendalikan Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab.
Pemilihan pemenang utama bersandarkan kepada jawapan paling tepat serta slogan menarik.
“Selaku penganjur, kami puas hati apabila peraduan ini menerima sambutan di luar jangkaan. Ternyata peraduan menyaksikan perlawanan Euro berjaya menarik minat rakyat Malaysia,” katanya sejurus selesai sesi pemilihan pemenang di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), petang semalam.
Selain pemenang utama, 10 lagi pemenang sagu hati turut dipilih untuk menerima hadiah bernilai RM500. Pemenang hadiah utama serta sagu hati akan dihubungi unit penjenamaan Harian Metro dengan majlis penyampaian hadiah akan dilakukan pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Peraduan Sorak Goool! memerlukan peserta menjawab dua soalan setiap hari dan mengumpul jawapan bermula 9 hingga 17 Mei serta melengkapkan slogan dengan tidak lebih dari lima perkataan pada 18 Mei lalu.




