Semarak musim bola
KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tempatan berpeluang memeriahkan Kejohanan Euro 2012 dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena program, ‘Sorak Goool’ anjuran akhbar nombor satu negara, Harian Metro di restoran mamak terpilih di tujuh negeri bermula esok.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, di samping menghargai sokongan pembaca setia Harian Metro, program itu bertujuan meraikan peminat bola sepak tempatan yang menjadikan restoran mamak umpama ‘stadium mini’ setiap kali berlangsung kejohanan bola sepak antarabangsa seperti Kejohanan Euro 2012.
“Di setiap lokasi persinggahan, pelbagai program menarik diadakan bermula jam 10 malam seperti kuiz, pertandingan timbang bola dan peraduan teka rasa Maggi sementara menanti perlawanan berlangsung,” katanya, semalam.
Menurutnya, bagi menyertai program itu, orang ramai hanya perlu membawa lima keratan kepala akhbar Harian Metro atau bukti pembelian barangan Hotlink di lokasi program untuk mendapatkan 200 tempat duduk zon eksklusif bagi menyaksikan perlawanan.
Beliau berkata, pembaca dan pelanggan terawal juga berpeluang mendapatkan barangan Harian Metro serta memenangi pelbagai hadiah menarik disediakan penganjur.
“Program yang mendapat kerjasama Hotlink dan Maggi ini akan turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Neelofa, Aril, Aaron Aziz, Aizat, Fasha Sandha, Remy Ishak dan ramai lagi,” katanya.
Katanya, Sorak Goool Cruisers juga akan menjelajah kawasan sekitar program bermula jam 6 petang hingga 10 malam dengan membawa pelbagai hadiah menarik.
Lokasi pertama esok di Restoran Nasi Kandar Subaidah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka untuk perlawanan pembukaan Euro 2012 membabitkan pasukan Poland menentang Greece sebelum menggegarkan Restoran De Mall, Kuantan, Pahang untuk perlawanan membabitkan Belanda menentang Denmark pada 9 Jun.
Selepas itu, kru Sorak Goool akan ke NZ Curry House, Seksyen 5 Wangsa Maju, sebelum ke Perak, Selangor, Johor Bahru dan Kuala Lumpur manakala untuk perlawanan akhir Euro 2012, Sorak Goool akan melabuhkan tirainya di Pulau Pinang.
Source: myMetro




