Hujan bukan penghalang

June 11th, 2012

HUJAN renyai sebaik sepak mula perlawanan Euro 2012 antara Belanda dan Denmark tidak menghalang lebih 300 penonton terus ‘melekat’ di kerusi masing-masing menyaksikan pertembungan itu dalam program Sorak Goool! Harian Metro di perkarangan Restoran De Mall, Kuantan, awal pagi semalam.

Kemeriahan program dapat dirasai apabila orang ramai mula membanjiri premis yang boleh diibaratkan seperti ‘stadium mini’ seawal jam 7.30 malam biarpun program hanya dimulakan pada jam 10 malam.

Kelihatan mereka berpusu-pusu mendapatkan tempat duduk sambil menyertai pelbagai acara diatur penganjur yang menyediakan hadiah menarik selain tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan artis undangan, Pierre Andre dan Pekin Ibrahim.

Pierre Andre ketika ditemui turut berkongsi kemeriahan program itu dengan mengakui penonton di Kuantan amat ‘sporting’ dan menghiburkan.

Katanya, semua acara diatur penganjur sebelum perlawanan mendapat reaksi positif penonton dan mereka tidak segan membabitkan diri.

“Bila saya panggil untuk menjawab soalan, ada yang berlari datang ke pentas, malah berebut-rebut. Ini menunjukkan sokongan kuat mereka,” katanya yang juga penyokong fanatik Perancis.

Menurutnya, dia yang menyokong Belanda dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B itu tetap terhibur dengan sorakan dilaungkan penonton walaupun ditewaskan Denmark dengan jaringan 1-0.

Pekin turut berkongsi perasaan sama dengan rakan artisnya itu apabila menyifatkan penonton di Kuantan amat mengujakan.

“Rasa macam berada di stadiumlah, memang hebat sambutan diberikan,” katanya yang menjadi penyokong Denmark dalam perlawanan itu.

Sementara itu, pengunjung ditemui, Khairul Fardullah, 22, terhibur dan gembira sepanjang program itu melalui pelbagai aktiviti sampingan dijalankan sementara menunggu detik permulaan perlawanan.

Dia yang juga penyokong Belanda menyifatkan program itu dapat menghimpunkan masyarakat sekitar daerah untuk menghangatkan lagi musim Euro 2012.

“Walaupun pasukan pilihan saya tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, namun saya cukup terhibur kerana dapat bersorak bersama pengunjung lain,” katanya.

Abdul Razak Ali, 39, berkata selain menonton perlawanan bola sepak, program itu memberi peluang kepada penduduk sekitar beramah mesra bersama artis jemputan. “Saya datang ke program ini seawal jam 8 malam untuk menyaksikan perlawanan Euro 2012 bersama Pierre Andre dan Pekin serta pengunjung lain,” katanya.

Dari Harian Metro