Edisi digital dapat sambutan menggalakkan

June 19th, 2012

KUALA LUMPUR – Berita Harian edisi digital yang dilancarkan, Jumaat lalu, mendapat sambutan menggalakkan dengan 5,831 pembaca mendaftar untuk memuat turunnya sehingga jam 5 petang semalam.

Edisi digital itu yang ditawarkan secara percuma sehingga 30 Jun ini, boleh dimuat turun melalui pelbagai platform multimedia, termasuk telefon pintar, tablet dan komputer.

Pegawai Teknologi Maklumat Universiti Sains Malaysia (USM), Noor Shahada Mohd Fauzi, 24, yang mendaftar sebagai pelanggan untuk produk terbaru Berita Harian itu menyifatkannya sangat menarik, mudah diakses dan ringkas.

“Saya yakin akhbar digital ini akan menjadi satu jenama baru dan pilihan bahan bacaan utama rakyat Malaysia satu masa nanti,” katanya yang menggemari ruangan hiburan dan sisipan Inspirasi.

Edisi digital yang memaparkan kandungan akhbar Berita Harian secara interaktif itu boleh dimuat turun melalui Apple iTunes Store, Apple App Store dan Google Play (Android).

Kakitangan swasta, Yuqarani Rajendran, 25, berkata paparan digital membolehkan pelanggan mudah mengakses berita di mana-mana saja, termasuk waktu kerja, mesyuarat, dalam kesesakan lalu lintas mahupun ketika bercuti.

“Ia juga pendekatan bagi menarik orang ramai khususnya golongan muda membaca. Orang muda sekarang cenderung menggunakan teknologi baru seperti telefon pintar dan Ipad. Jadi akhbar juga perlu mengikut cita rasa mereka,” katanya yang mendaftar untuk memuat turun akhbar digital itu, kelmarin.

Pekerja syarikat telekomunikasi, Chui Ka Xian, 20, berkata pengenalan edisi digital membolehkan pembaca yang berada di luar negara turut boleh mengakses sumber berita tempatan dengan lebih mudah.

“Saya amat setuju dengan kaedah baru diperkenalkan Berita Harian. Pendekatan ini memudahkan mereka khususnya yang bekerja di luar negara mendapatkan sumber berita tempatan, sekali gus membolehkannya mengetahui semua perkembangan semasa di dalam negara ini,” katanya.

Rakannya, Toog Kian Toong, 20, berkata akhbar digital membuka ruang kepada pembaca mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa dengan lebih cepat tanpa perlu mengunjungi kedai dan stesen minyak untuk membeli akhbar.