‘Terima kasih banyak’
SUNGAI PETANI – “Biarpun dianggap kotor kerana dikutip dari tong dan tempat pembuangan sampah, namun inilah sumber rezeki saya,” kata bekas tentera, Mohd Zain Abu Bakar, 44, yang dipilih menerima sumbangan sempena program Titipan Kasih Harian Metro 2012 di Sungai Pasir, di sini, kelmarin.
Mohd Zain dan isteri, Mashiah Amhad, 44, yang menyewa rumah di Taman Semarak, antara 10 keluarga kurang berkemampuan dipilih menerima sumbangan makanan dan keperluan harian dan bantuan Aidilfitri disalurkan akhbar Harian Metro dan Shell.
Katanya, setiap hari dia memikirkan di mana mahu mencari sumber kewangan lebih bagi membuat persiapan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi kerana kerja dilakukan sekarang hanya cukup membeli keperluan harian saja.
“Namun, hari ini (kelmarin) saya terkejut kerana menerima kunjungan rombongan Harian Metro dan Shell yang menyampaikan sumbangan. Saya bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban ditanggung bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri nanti.
“Selama ini selepas solat Subuh, saya akan keluar mencari barang lusuh, besi buruk serta barang terpakai di tong dan tempat pembuangan sampah sekitar taman ini untuk dikumpul dan dibersihkan sebelum dijual kepada pengusaha barangan lusuh.
“Inilah saja kerja yang saya mampu buat bagi menyara isteri dan tiga anak iaitu, Siti Nor Syamira, 18, Mohd Hafiz Aiman 16, dan Nor Aliah,13,” katanya.
Mohd Zain berkata, setiap bulan dia mendapat hasil kira-kira RM600, namun bersyukur kerana hasil mengutip barang lusuh serta besi buruk dan terpakai inilah yang menyara kehidupan dia sekeluarga.
“Saya tidak mampu buat kerja lain kerana kesihatan yang tidak mengizinkan kerana cepat penat. Sejak berhenti dari tentera pada 2006 lalu selepas 18 tahun berkhidmat dalam Kor Ordnan Diraja (KOD) saya sukar mendapat kerja lain.
“Selepas tamat perkhidmatan, saya pernah sakit selama tiga tahun dan tidak mampu membuat kerja berat,” katanya selepas menerima kunjungan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarah Urusan Shell Trading, Azman Ismail di rumahnya, di sini, petang kelmarin.
Sempena Titipan Kasih Harian Metro 2012 yang diadakan di Masjid Muhibuddin, Sungai Pasir, Mustapa dan Azman bersama kakitangan Harian Metro dan Shell mengadakan program ziarah dengan mengunjungi 10 rumah keluarga kurang berkemampuan sekitar Taman Semarak, Taman Permata Semarak, Kampung Baru dan Jalan Sungai Pasir bagi menyampaikan makanan dan keperluan harian serta sumbangan Hari Raya.
Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat.




