Bantuan seluhur budi
SUNGAI PETANI – Seramai 100 anak yatim dan lebih 20 ibu tunggal serta keluarga miskin diraikan dalam program Titipan Kasih Harian Metro 2012 edisi kedua bagi tahun ini yang diadakan di Masjid Muhibuddin, Mukim Sungai Pasir, di sini, petang kelmarin.
Sepanjang program itu, lebih daripada 200 penduduk kampung serta ahli jawatankuasa masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta golongan kurang bernasib baik hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Program dua hari itu yang bermula pada Jumaat lalu, membawa anak yatim membeli kelengkapan Aidilfitri di Pasaraya Tesco Sungai Petani Selatan (SPS), sebelum program diteruskan dengan melawat keluarga susah menerusi ‘Mai Sahur’ yang pertama kali diadakan dalam edisi kali ini.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, beliau gembira terhadap sambutan penduduk kampung sepanjang dua hari berkampung di masjid berkenaan dan program itu sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial korporat akhbar itu bersama badan korporat lain.
“Pada program kali ini, kami bersama badan korporat lain memilih tema ‘Seluhur Budi’ bagi menggambarkan niat ikhlas kami membantu anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik bagi menghadapi Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya berharap sokongan baik daripada korporat dapat diteruskan pada masa depan selain berhasrat meneruskan acara tahunan ini pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan penutup, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohamad Yusoff; Pengarah Urusan Shell Malaysia, Azman Ismail; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.
Menurutnya, kerjasama semua pihak dalam menjayakan program itu dihargai.
Sementara itu, Azman berkata, program kali ini adalah kali ketiga pihaknya terbabit bersama Harian Metro dalam menjayakan program Titipan Kasih.
“Kami gembira kerana berpeluang bersama Harian Metro dalam menjayakan program murni ini dan ia sebahagian daripada komitmen kami melaksanakan aktiviti tanggungjawab korporat kepada masyarakat,” katanya.




