Sumbangan cara terus

August 8th, 2012

KUALA LUMPUR – Tertarik dengan konsep penganjuran program amal Titipan Kasih Harian Metro menggamit Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) tampil sebagai rakan baru program berkenaan menerusi sumbangan wang zakat berjumlah RM90,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, program itu bertepatan dengan fokus Affin Islamic dalam memperuntukkan wang zakat melalui sumbangan secara terus kepada asnaf iaitu golongan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal. “Saya tersentuh dengan usaha murni Harian Metro menjayakan program ini, malah pengisiannya yang unik dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat menarik perhatian kami untuk sama-sama memberi sumbangan bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

“Semoga sumbangan ini mampu memberi sejuta makna buat mereka (golongan asnaf) dan boleh menyambut Ramadan serta Aidilfitri dengan gembira seperti insan lain. Insya-Allah, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Harian Metro dalam program begini pada tahun akan datang,” katanya.

Kamarul berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Affin Islamic kepada Tabung Titipan Kasih Harian Metro di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam. Sumbangan itu diserahkannya kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Ketua Perbankan Pengguna dan Perkhidmatan Strategik Affin Islamic, Ferdaus Toh Abdullah dan Pengarang Eksekutif (Berita) merangkap Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro, Othman Mamat. Sumbangan itu bagi menjayakan program Titipan Kasih Harian Metro yang akan singgah di Kesang, Muar, Johor pada 11 Ogos ini sebelum menjengah destinasi terakhir bagi Ramadan 1433 Hijrah di Tanjung Karang, Selangor, pada 15 Ogos.