‘Kami amat terharu’
TANJUNG KARANG – Kira-kira 30 ahli jawatankuasa (AJK) dan kariah Masjid As Solihin Tali Air 2, Sungai Burong, di sini, bergotong-royong membersihkan persekitaran masjid sempena program Titipan Kasih Harian Metro 2012, Rabu ini.
Timbalan Nazir, Aini Hamzah, 64, berkata, beliau mewakili kariah masjid bersyukur kerana buat julung kalinya masjid di kampung itu dipilih Harian Metro untuk program berkenaan.
“Apabila saya dimaklumkan program Titipan Kasih Harian Metro akan diadakan di sini, saya berasa amat terharu kerana tidak menyangka masjid As Solihin dipilih.
“Setelah sekian lama kami menantikan kehadiran orang luar menjengah kampung kami, akhirnya pada tahun ini ada juga yang sudi dan seluruh kariah masjid bersyukur kerana penduduk kampung yang kurang berkemampuan bakal mendapat manfaat daripada program yang dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata, kariah masjid akan menyenaraikan penduduk kampung yang kurang berkemampuan seperti anak yatim, ibu tunggal dan warga emas bagi memudahkan bantuan daripada Harian Metro dan pihak penaja dihulurkan.
Setiausaha masjid, Samat Omar, 66, berkata, pelbagai program untuk semua lapisan umur sudah diaturkan untuk penduduk kampung.
Menurutnya, jika sebelum ini penduduk hanya membaca akhbar Harian Metro dan tidak pernah mengenali kakitangannya tetapi dengan adanya program sebegini, penduduk kampung dapat mengenali mereka dengan lebih rapat selain berkongsi pengalaman bagaimana berita dihasilkan.




