92 pemenang bakal diumum

September 13th, 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 92 pemenang daripada lebih 10,000 peserta yang menyertai Peraduan Harian Metro Mr Potato Gila Bola dipilih semalam selepas kuiz itu tamat pada 30 Ogos lalu.

Cabutan dilakukan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok dan Pengurus Besar Pemasaran New Straits Times Press (NSTP), Putri Shireen Syed Othman.

Daripada jumlah itu, empat pemenang dipilih memenangi hadiah utama iaitu percutian ke United Kingdom (UK) sambil menonton Manchester United di Old Trafford dengan tempat tinggal serta tiket penerbangan disediakan.

Manakala 88 pemenang lain pula menerima hadiah mingguan dengan seorang peserta dipilih menerima RM3,000, sementara 10 lagi menerima wang RM500 bersama sagu hati.

Semua pemenang dipilih berdasarkan jawapan tepat kepada soalan diberikan setiap dua minggu sekali sepanjang tempoh peraduan itu disiarkan.

Peraduan selama lapan minggu yang bermula 3 Julai lalu itu turut mendapat kerjasama Mamee-double Decker.

Nama semua pemenang akan disiarkan di akhbar ini dalam tempoh terdekat.