HARIAN METRO TABLOID MELAYU NOMBOR 1


HM-07/12/2005
Send to a friend | Printable Page

KUALA LUMPUR: Harian Metro terbitan The New Straits Times Press (M)
Berhad (NSTP) muncul akhbar tabloid Melayu nombor satu manakala Berita
Harian mengekalkan kedudukan sebagai akhbar berbahasa Melayu terunggul.

Perangkaan terbaru Audit Bureau of Circulation (ABC) bagi tempoh 1
Julai 2004 hingga 30 Jun 2005 yang dikeluarkan semalam, menyaksikan
kedua-dua akhbar itu mengatasi saingan terdekat, Utusan Malaysia.

Dalam tempoh setahun itu, Berita Harian mencatat purata jualan harian
sebanyak 231,163 naskhah, Harian Metro (229,829) manakala Utusan Malaysia
(228,802).

Pencapaian Berita Harian itu memperkukuhkan kedudukannya selepas
kembali menjadi akhbar berbahasa Melayu nombor satu bagi tempoh enam
bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun lalu dengan purata jualan harian
220,155 naskhah.

Berita Harian pernah menjadi akhbar nombor satu selama sembilan tahun
dari 1988 hingga 1997 manakala Harian Metro terus mencatat peningkatan
jualan walaupun baru berusia 14 tahun.

Berita Minggu pula mencatat purata jualan sebanyak 358,054 naskhah
sepanjang 1 Julai 2004 hingga 30 Jun 2005, Mingguan Malaysia (529,176)
dan Metro Ahad (221,599).

Bagi akhbar berbahasa Inggeris, The Star kekal nombor satu dengan
299,589 naskhah. Manakala New Straits Times mencatat peningkatan purata
jualan harian sebanyak 10,649 kepada 139,517 naskhah. Jualan purata
akhbar The Malay Mail pula ialah 42,913.

Akhbar mingguan New Sunday Times juga mencatat kenaikan daripada
149,139 kepada 150,723 naskhah, manakala Sunday Star kekal di tempat
pertama dengan 316,463 naskhah dan Sunday Mail (55,661).

Kaji selidik ABC yang menggunakan piawaian antarabangsa dan
dikendalikan secara berkecuali, diterima pakai sebagai rujukan bagi
industri media dan disertai semua akhbar harian di negara ini kecuali
akhbar Tamil.

  Home - Contact - Sitemap - Events - In the News - Legal Terms  
  Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Balai Berita,31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur,Malaysia