
Kumpulan RHB, NSTP anjur peraduan mengeja (BH-22/02/2008)
Nor Liza Ahmad
THE New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menerusi New Straits Times Sdn Bhd (NST) bekerjasama dengan Kumpulan RHB bagi menganjurkan pertandingan RHB-New Straits Times Spell-It-Right Challenge yang akan berlangsung dari April hingga Ogos depan.
Ketua Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar, berkata RHB-New Straits Times Spell-It-Right Challenge adalah antara usaha menggalakkan pelajar meningkatkan pengetahuan mereka dalam bahasa Inggeris.
Katanya, pertandingan itu akan diadakan dalam dua kategori iaitu sekolah rendah dari Tahun Satu hingga Enam dan menengah (Tingkatan Satu hingga Lima).
Beliau berkata, RHB-New Straits Times Spell-It-Right Challenge turut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pada peringkat negeri dan kebangsaan dengan pusingan akhir akan diadakan pada Ogos depan.
Syed Faisal berkata, pertandingan mengeja itu yang dijangka diadakan sebagai acara tahunan menawarkan hadiah bernilai lebih RM200,000. Ia terbuka kepada semua sekolah kerajaan dengan hanya empat pelajar bagi setiap sekolah.
"Borang penyertaan boleh diperoleh di akhbar New Straits Times dan New Sunday Times mulai 1 Mac depan dan penyertaan terhad kepada 36 sekolah. "Semua peserta akan melalui pusingan permulaan di peringkat negeri dan 14 juara pusingan akan bertanding pada peringkat kebangsaan," katanya pada majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara NSTP dan Kumpulan RHB di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, NSTP diwakili Syed Faisal, manakala RHB oleh Pengerusi RHB Bank Bhd dan Pengarah RHB Capital Bhd, Datuk Azlan Zainol. Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Michael J Barret dan Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun.
Sementara itu, Azlan berkata, penyertaan Kumpulan RHB dalam RHB-New Straits Times Spell-It-Right Challenge mencerminkan komitmen bank dalam menyokong program berbentuk pendidikan.
Beliau berkata, RHB Bank memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta bagi menjayakan RHB-New Straits Times Spell-It-Right Challenge.
|