PETALING JAYA: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia melalui anak syarikatnya, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) mengungguli Anugerah Putra Aria Brands 2022 bagi kategori Rangkaian Media.
Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) masing-masing merangkul Anugerah Emas bagi kategori Rangkaian Media.
Hadir menerima anugerah itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.
Ahmad Zaini berkata, Anugerah Putra Aria Brands membuktikan bahawa jenama BH dan NST mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan pembaca.
“Alhamdulillah anugerah ini akan menjadi satu pendorong kepada kita untuk bergerak lebih maju bagi membina jenama yang menjadi pilihan rakyat Malaysia,” katanya.
Anugerah Putra Aria Brands diperkenalkan buat pertama kali pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Anugerah Putra Brand Awards, Datuk Johnny Mun, berkata anugerah berkenaan adalah bagi menggalakkan syarikat melabur dalam jenama sendiri untuk mengekalkan mereka di dalam minda pengguna, di samping memenuhi kehendak industri.
“Idea untuk anugerah sulung ini lahir daripada rasa hormat dan untuk menghargai pembina jenama serta agensi yang membantu membangun industri,” katanya.
Anugerah Putra Aria Brands adalah inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.
Anugerah pada Putra Aria Brands dikenal pasti mengikut pilihan pengguna dan acara itu mendapat pengesahan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ia adalah satu-satunya anugerah daripada pilihan orang ramai. – BHOnline