Kuala Lumpur: Setiap pengunjung yang hadir membeli akhbar keluaran The News Straits Times Press (NSTP) di reruai dibuka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-39 berpeluang memenangi hadiah istimewa dengan menyertai aktiviti bermain roda putar.
Pengurus Langganan dan Agihan Pemasaran Jabatan Pengedaran NSTP, Tengku Kaifimirza Tengku Hamzah berkata, menerusi aktiviti itu, pengunjung akan membawa pulang buku nota NSTP sebagai cenderahati selain sumbangan penaja iaitu Teh Cap Panglima, biskut Julie’s dan Coffee Mate keluaran Nestle.
Menurut Tengku Kaifimirza, aktiviti itu diadakan sejak hari pertama gerai pameran NSTP dibuka pada 3 Jun lalu dan berakhir esok.
“Di gerai pameran ini, kita menawarkan hadiah istimewa iaitu RM4 bagi pembelian akhbar harian keluaran NSTP iaitu Harian Metro, Berita Harian dan News Straits Times.
“Menerusi setiap pembelian, pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong sebaliknya membawa pulang cenderahati daripada NSTP dan hadiah sumbangan penaja.
“Pemberian hadiah ini secara tidak langsung menjadi tarikan pengunjung yang datang mendapatkan akhbar di reruai ini yang sudah terjual sebanyak 2,700 naskah dengan purata jualan 300 naskhah setiap hari,” katanya ketika ditemui di reruai NSTP dekat World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.
Sementara itu, pegawai bank, Muhammad Fadzli Hamzah, 42, dari Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan tertarik dengan harga istimewa akhbar juga hadiah ditawarkan di gerai pameran NSTP.
“Saya datang ke sini bersama isteri dan empat anak sempena cuti sekolah. Di samping melihat dan membeli buku dijual, sekeluarga ambil kesempatan singgah ke gerai pameran NSTP ini bagi mendapatkan akhbar.
“Menariknya, ada aktiviti interaktif iaitu roda berputar yang memberi peluang untuk kami membawa pulang hadiah juga cenderahati,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Wan Juliana Wan Sidit, 40, yang juga guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2, Negeri Sembilan berkata, aktiviti di reruai pameran NSTP menarik kerana menawarkan hadiah istimewa.
“Bukan hanya pengunjung dewasa malah kanak-kanak juga boleh turut serta dalam aktiviti diadakan.
“Bagi saya, aktiviti seperti ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang kerana sangat menyeronokkan,” katanya.
Selain jualan akhbar, terdapat tiga pakej langganan ditawarkan di gerai pameran NSTP sempena PBAKL-39 iaitu pakej sebulan pada harga RM20.14; pakej setahun (RM168.54) dan pakej pendidikan (RM31.80) untuk setahun kepada pelajar.
Turut ditawarkan adalah pakej bagi langganan akhbar cetak iaitu RM500 untuk setahun dengan setiap langganan akan mendapat baucar AEON berjumlah RM20 selain pemberian cenderahati seperti payung dan cawan.
Novel kanak-kanak dan remaja turut dijual dan orang ramai boleh mendapatkannya pada harga RM10.
PBAKL kali ke-39 adalah anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama persatuan industri buku Malaysia.
Antara program menarik di PBAKL 2022 adalah pelancaran Siri Koleksi Cerita Sasterawan Negara Siti Zainon dan Kolam Teduh Biru oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pelancaran Buku Etnosains Matematik Malayonesia, Bicara Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun oleh DBP dan Malam Baca Puisi PENA@PBAKL. – HM Online