KUALA LUMPUR: Bagi terus menggalakkan budaya membaca kalangan masyarakat, Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) mengambil peluang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) bermula semalam hingga 12 Jun.
PBAKL 2022 yang berlangsung selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu menempatkan lebih 700 gerai membabitkan hampir 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Indonesia, Singapura dan Turki.
Pengurus Langganan dan Agihan Pemasaran Jabatan Pengedaran NSTP, Tengku Kaifimirza Tengku Hamzah, berkata orang ramai termasuk pelajar yang berkunjung ke ruang pameran NSTP berpeluang melanggan produk akhbar e-paper iaitu Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST).
“Terdapat tiga pakej langganan ditawarkan iaitu pakej sebulan pada harga RM20.14; pakej setahun (RM168.54) dan pakej pendidikan (RM31.80) untuk setahun kepada pelajar.
“Kami turut menawarkan pakej bagi langganan akhbar cetak iaitu RM500 untuk setahun dengan setiap langganan akan mendapat baucar AEON berjumlah RM20 selain pemberian cenderahati seperti payung dan cawan,” katanya.
Beliau berkata, selain tawaran langganan itu, turut dijual novel kanak-kanak dan remaja pada harga RM10 selain akhbar harian di gerai pameran NSTP itu.
“Kehadiran pengunjung ke pesta untuk hari pertama ini menggalakkan dan diharap terus meningkat. Sepanjang pameran ini juga pihak kami sasarkan nilai jualan sekitar RM30,000,” katanya.
PBAKL kali ke-39 berkenaan adalah anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama persatuan industri buku Malaysia.
Antara program menarik di PBAKL 2022 adalah pelancaran Siri Koleksi Cerita Sasterawan Negara Siti Zainon dan Kolam Teduh Biru oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pelancaran Buku Etnosains Matematik Malayonesia, Bicara Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun oleh DBP dan Malam Baca Puisi PENA@PBAKL. – BHOnline