Melaka: Ketepikan rasa kekurangan diri dan tumpu kepada usaha untuk berjaya dalam pendidikan bagi menjamin masa depan cemerlang.
Itu pesanan sempat dititipkan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun kepada anak yatim pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas di Lembaga Pengurusan Anak-Anak Yatim / Miskin (Payasum), di Sungai Udang, di sini, semalam.
“Antara sebab kita pilih rumah kebajikan ini kerana mereka menguruskan anak-anak yatim dan miskin yang bersekolah.
“Kita ingin menitik beratkan kepentingan persekolahan yang menjamin peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas program.
Hadir sama, Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz dan Pengurus Payasum, Puziah Md Taha.
Seramai 77 anak yatim dan miskin berusia sembilan hingga 17 tahun diraikan pada program itu dengan menerima sumbangan barangan makanan selain bantuan kewangan turut disalurkan kepada rumah kebajikan terbabit.
Mohamad Izham berkata, pihaknya bersyukur dapat menjayakan program itu dalam suasana Syawal selepas dua program sebelum ini dibuat ketika Ramadan dan berdepan kekangan perjalanan dan masa terhad.
“Objektif kita untuk mendekatkan masyarakat kerana kadang-kadang anak yatim ini tertinggal, bukan dilupakan.
“Kita nak menggembirakan mereka dalam keadaan ekonomi semasa dan kesusahan masa ini, kita nak mereka tahu halangan adalah cabaran dan peluang yang perlu diambil secara positif.
“Mereka tidak perlu rasa kekurangan pada diri, sebab itu kita rapatkan jurang dari segi korporat dan operasi pada anak-anak ini supaya mereka jelas bahawa ada orang prihatin berada di sisi mereka. Walaupun jauh di mata, tapi dekat di hati,” katanya.
Sementara itu, Noor Azam berkata, menerusi kerjasama dengan Kedai Ayamas, program TKHM menjelajah ke sembilan negeri untuk memberi sumbangan kepada rumah kebajikan, anak yatim dan warga emas terpilih.
Katanya, selepas ini TKHM akan ke Terengganu dengan mengekalkan konsep sumbangan yang sama.
“Jadi kita amat mengalu-alukan syarikat korporat bekerjasama dengan Harian Metro sebagai perantara untuk kita bersama-sama memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan terutama mereka yang terkesan Covid-19.
“Antara kriteria pemilihan rumah kebajikan ini, kita juga melihat kepada jumlah pelajar dan bentuk keperluan yang diperlukan.
“Untuk hari ini (semalam), selain sumbangan makanan, penaja kita Kedai Ayamas juga berbesar hati menyalurkan bantuan wang tunai kepada rumah kebajikan ini untuk beroperasi,” katanya.
Untuk rekod, enam lagi lokasi TKHM adalah di Terengganu, Pahang, Lembah Klang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. – HMOnline