Batu Kawan: Reruai Dinoland The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang mendapat sambutan menggalakkan pada edisi Karnival Jom Heboh (KJH) di Shah Alam, Selangor, bulan lalu, kini kembali untuk menghiburkan penduduk Pulau Pinang.
Dijangkakan 3,000 keluarga akan mengunjungi reruai itu dan melihat dinosaur ‘robotik’ sepanjang tiga hari KJH yang bermula hari ini hingga Ahad.
Pengurus Besar Jabatan Pengedaran dan Jualan NSTP, Prakash D Munusamy berkata, ketika siri KJH di Shah Alam, seramai 2,580 keluarga membuat pembelian tiket berharga RM20 untuk masuk dan bergambar dengan koleksi dinosaur.
Justeru, katanya, pihaknya menjangkakan perkara sama akan berlaku di Pulau Pinang dan berharap ia menjadi tarikan buat pengunjung bersama keluarga.
“Tiket masuk hanya RM20 bagi satu keluarga, tidak kira berapa jumlah mereka yang mana harga ini ditetapkan kerana tidak mahu membebankan pengunjung.
“Bahkan, mereka yang membuat pembelian tiket akan diberikan satu naskhah akhbar daripada Kumpulan NSTP iaitu NST, Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) serta air minuman botol dan satu sachet minuman teh uncang secara percuma sumbangan penaja,” katanya ketika ditemui di reruai NSTP sempena KJH Pulau Pinang yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, di sini, hari ini.
Prakash berkata, pengunjung yang membuat pembelian tiket masuk ke Dinoland juga layak untuk sesi cabutan bertuah.
“Untuk sesi cabutan bertuah, kita mempunyai dua siri iaitu pada hari pertama dan kedua membabitkan hadiah berupa barangan elektrik serta perkakas dapur manakala pada hari terakhir Ahad ini, akan diadakan cabutan bertuah untuk hadiah utama.
“Bagi yang memenangi hadiah utama, nama mereka akan disiarkan di ketiga-tiga akhbar NSTP yang memerlukan pengunjung yang masuk membeli surat khabar untuk mengetahui sama ada mereka bertuah atau sebaliknya,” katanya.
Antara penaja utama bagi Kumpulan NSTP pada siri KJH di Pulau Pinang ialah Nestle, Julies, Mr Bentong, Himalaya dan Enrico’s.
Orang ramai khususnya ibu bapa di negeri ini yang ingin membawa anak-anak mereka merasai pengalaman melihat dinosaur pada harga berpatutan diminta berbuat demikian pada karnival yang berlangsung berbaki dua hari lagi.
Selain NSTP, pengunjung boleh mengunjungi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Buletin FM, OH BULAN dan VOCKET seawal jam 9 pagi.
Pengunjung juga boleh bertemu dan bergambar dengan selebriti kegemaran yang dibawakan khas untuk penduduk negeri itu. – HM Online