KUALA LUMPUR: Sidang Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) menyarankan semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik termasuk manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum.
Saranan itu dikemukakan dalam ketiga-tiga akhbarnya, iaitu BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM), masing-masing melalui Minda Pengarang, NST Leader serta Minda.
Ini kerana sidang pengarang kumpulan akhbar terbesar tanah air menyifatkan usaha pemulihan negara dan pembelaan rakyat bukan sahaja terjejas dengan manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum yang sudah keterlaluan dan melampau, bahkan boleh memecahbelahkan perpaduan dan mengundang bahaya lebih besar.
Tambah membimbangkan sekiranya tiada langkah ampuh diambil, ia dikhuatiri lebih melarat disebabkan negara akan menghadapi siri pilihan raya hampir setiap tahun sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta enam negeri yang baru saja melaluinya pada bulan lalu.
Dalam kolum sama juga, sidang pengarang termasuk akhbar bahasa Melayu tulisan rumi dan akhbar bahasa Inggeris tertua di negara ini turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menyegerakan penyiasatan untuk dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan perundangan, sekali gus mengelakkan timbul persepsi dwistandard terhadap elit politik berbanding orang awam yang terbabit dalam kesalahan menyentuh sensitiviti 3R (raja, agama dan kaum). – BH Online |