KUALA LUMPUR: Pentas deklamasi puisi berprestij, Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian (BH) yang kali terakhir diadakan pada 2017 kembali bergema di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, malam ini.
Bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, acara yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menampilkan Sasterawan Negara (SN), penyair, penggiat media dan selebriti tanah air.
Selepas enam tahun terhenti, gelanggang Malam Puisi Riong masih belum hilang taringnya, malah berjaya menarik kehadiran lebih 350 khalayak, khususnya pencinta sastera tanah air.
Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata acara yang dianjurkan sejak 1980-an itu bertujuan memupuk minat terhadap kesusasteraan, bahasa Melayu dan kebudayaan dalam kalangan rakyat secara menyeluruh.
Katanya, acara deklamasi puisi yang sekian lama diangkat sebagai jenama BH turut menunjukkan komitmen berterusan akhbar itu terhadap dunia sastera.
“BH memberi sorotan kepada bahasa, budaya dan sastera melalui empat halaman setiap minggu yang disiarkan setiap Ahad secara berfokus.
“Ia mengandungi berita dan rencana mengenai pelbagai isu, selain turut menyediakan ruangan cerpen dan puisi yang memberi peluang kepada pembaca tanpa mengira latar belakang untuk menghasilkan karya kreatif,” katanya ketika menyempurnakan Malam Puisi Riong BH-DBP, di sini, malam ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim; Timbalan Ketua Pengarang BH, M Thillinadan dan Pengerusi Jawatankuasa Malam Puisi Riong Merangkap Pengarah Berita Mingguan/Rencana BH, Mohd Nazmi Yaakub.
Memberi kejutan pada acara puisi berkenaan, Johari yang tampil buat kali pertama pada Malam Puisi Riong dengan mendeklamasikan puisi karya SN, Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, bertajuk Dari Mulut ke Mulut.
Acara yang dikemudi personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya itu turut menampilkan dua orang SN, Mohd Anuar dan Datuk Rahman Shaari.
Deklamator lain termasuk penyair, Pyanhabib; penggiat seni, Sabri Yunus dan isterinya, Ardini Angeline Tan, pelakon, Fathia Latiff dan Ketua Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi MARA, Dr Norzizi Zulkifli. – BH Online | HM Online | NST Online