KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan tugasan seharian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencuri masa berkunjung ke Balai Berita New Straits Times Press (Malaysia) Berhad di Bangsar bagi bertemu dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad.
Dalam pertemuan malam tadi, Anwar turut menegaskan ikhtiar dan kaedah baharu perlu terus diterokai bagi meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak, termasuk meningkatkan mutu DidikTV, yang dikelolakan Media Prima Berhad.
Mengulas lanjut katanya, ini kerana beliau tertarik terhadap pencapaian DidikTV yang membantu ramai pelajar, terutama di luar bandar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Usai Majlis Berbuka Puasa MADANI (malam tadi), saya berkunjung ke Balai Berita di Bangsar untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad.
“Saya diberikan taklimat terkait operasi dan cabang-cabang perniagaan syarikat merangkumi televisyen, akhbar, radio, pengiklanan dan digital.
“Taklimat turut menyentuh perkembangan DidikTV sejak saluran ini mula bersiaran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).
“Saya tegaskan bahawa kita mesti terus berikhtiar dan mencari kaedah baharu untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak, termasuk meningkatkan mutu DidikTV,” katanya melalui aplikasi X, hari ini.
Kehadiran Perdana Menteri disambut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar serta Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
DidikTV KPM dijadikan sebagai saluran khusus TV Pendidikan bermula 17 Februari 2021 dikenali sebagai NTV7 namun sejak 4 April 2022, ia bersiaran 24 jam serentak dengan Hot FM. – BH Online