KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkul dua anugerah utama sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 di sini, malam ini.
Ketua Penyunting Harian Metro (HM), C Ramasamy, berjaya memenangi Kategori Penulisan Kolum Terbaik sebagai pemenang emas, yang membawa pulang RM10,000, trofi serta sijil, manakala Rajan David Christy dari New Straits Times (NST) membawa pulang gangsa.
Sementara itu, bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik, Pengarang NST, Intan Azura Ahmad Kamal dan wartawan, Elena Simala Koshy memenangi pingat emas menerusi ‘Sunday Vibes@NST Podcast’ yang membawa pulang RM10,000, trofi berserta sijil.
Jurugambar NSTP, Mohd Aizuddin Akmal Saad menang perak Kategori Esei Foto Terbaik manakala Mohamad Danial Mohamad Saad meraih gangsa bagi kategori Kewartawanan Foto Terbaik.
Bagi kategori Infografik Terbaik, menerusi HM, Mohd Syazwan Mohamed Shah Affendi dan penyunting Zul Fadhli Kamarrudin meraih perak manakala Mohd Alhafiz Ithnin @ Abdul Jabar serta Nor Salim Mohamed Dawam memenangi gangsa.
Wartawan NST, Aliza Shah Muhammad Shah dan Iylia Marsya Iskandar, memenangi perak bagi kategori Kewartawanan Penyiasatan Terbaik dan kategori Laporan Berita Terbaik.
Azrul Affandy Sobry dan Shahrul Redzuan Zulkifli memenangi gangsa bagi kategori Bicarawara Video Terbaik.
HKM MPI-PETRONAS 2023 turut menobatkan Khalidah Adibah Amin sebagai Tokoh Wartawan Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hadiah pada majlis yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar.
Vinothaa Selvatoray dari Malaysiakini merangkul hadiah utama, Hadiah Kajai menerusi siri laporannya bertajuk ‘Exposed: Shackles of rampant modern-day slave trading.’ – BH Online