Kuala Lumpur: Percaya ‘usaha seorang tidak mencukupi’ untuk membantu lebih ramai komuniti dan masyarakat memerlukan, syarikat produk makanan berfungsi terkemuka, Wellous Sdn Bhd menjalin kerjasama dan menyumbang RM12,500 kepada Tabung Titipan Kasih Harian Metro (TKHM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Racheal Tan berkata sejak ditubuhkan pada 2017, setiap bulan pihaknya mempunyai peruntukan khas untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu lebih ramai komuniti memerlukan.
Justeru, katanya, dengan kerjasama ini beliau percaya lebih banyak kebaikan dan bantuan yang boleh dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Sebenarnya, sejak awal penubuhan Wellous, kami sudah memulakan program CSR ini dengan peruntukan RM5,000 saja.
“Kini ia sudah mencecah RM20,000 sebulan selain mempunyai pasukan khas untuk melihat jenis permasalahan yang berlaku terutama dalam komuniti dan bagaimana caranya Wellous dapat membantu mereka.
“Oleh itu, kami berharap dengan kerjasama ini, lebih banyak program yang boleh dilaksanakan bersama kerana saya percaya sesuatu program sudah tentu ada matlamat sendiri dan mahu ia berterusan. Begitu juga kami di Wellous,” katanya.
Menerusi program CSR yang dilaksanakan antara kategori bantuan yang sentiasa diutamakan adalah kategori keadaan terdesak seperti kemalangan, bayi yang dilahirkan pramatang ataupun jantung berlubang.
Selain itu, bantuan Wellous juga banyak dihulurkan kepada rumah anak yatim, rumah penjagaan orang tua dan banyak lagi yang kesemuanya bersandarkan kepada keperluan komuniti.
Ditubuhkan untuk membantu masyarakat mencari dan mendapatkan produk kesihatan berkualiti, dengan pembabitan lapan pakar perubatan yang membantu dari segi fomulasi dan penyelidikan, Wellous kini mempunyai 25 produk dengan 13 siri yang sesuai untuk semua peringkat usia.
Selepas lebih kurang lima tahun, Wellous kini mewujudkan Yayasan Wellous & SVO yang bukan saja untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kepada komuniti tetapi menyebarkan lebih banyak kasih sayang sekali gus menarik masyarakat prihatin turut sama membantu.
Racheal berkata, masyarakat umum melihat produk Wellous saja tetapi hakikatnya kita sebenarnya lebih daripada produk.
Oleh itu, Wellous mewujudkan Yayasan Wellous & SVO bagi mengukuhkan lagi bahagian CSR, menstabilkannya dan menarik lebih ramai masyarakat prihatin yang mahu turut sama menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
“Kami faham untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti, usaha seorang tidak mencukupi.
“Jadi, menerusi Yayasan Wellous & SVO ini, kami di Wellous menjadi pengasas tapi dalam masa yang sama kita galakkan orang ramai untuk turut sama menyalurkan bantuan.
“Menerusi Yayasan Wellous & SVO ini, orang ramai bukan saja boleh hulurkan bantuan berupa wang ringgit tetapi juga bantuan sokongan termasuklah menjadi sukarelawan.
“Ia sekali gus menjadikan Yayasan Wellous & SVO sebagai satu badan yang bukan saja memberikan bantuan dari segi kewangan tetapi juga bantuan tenaga (sukarelawan) dengan pembabitan kakitangannya dan masyarakat,” katanya.
Racheal berkata, dengan usaha laksanakan ini, pihaknya percaya bantuan akan sampai kepada komuniti memerlukan tetapi ia pastinya akan mengambil masa yang lama kerana pihaknya perlu mencari.
“Oleh itu, saya berharap dengan kerjasama ini, mereka yang memerlukan boleh datang terus ke Yayasan Wellous & SVO,” katanya. – HMOnline