Kajang: Harian Metro meneruskan kerjasama dengan Agrobank menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi menjayakan projek pembangunan Sistem Tanaman Hidroponik di enam rumah kebajikan, termasuk pusat tahfiz.
Setiap rumah kebajikan diberikan peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz dan ruang untuk aktiviti tanaman hidroponik.
Ketua Jabatan Syariah Agrobank, Hishamuddin Ab Hamid selaku wakil Agrobank berkata, enam rumah kebajikan terpilih, masing-masing dua di Selangor dan Perlis, selain satu di Kedah serta Johor.
Katanya, projek hidroponik itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mengenal pasti rumah kebajikan yang layak dan Jabatan Pertanian Malaysia yang membekalkan set permulaan sistem tanaman hidroponik serta sokongan berkaitan seperti kaedah penjagaan dan tip penanaman sehingga sekurang-kurangnya tiga kali tuaian.
“Inisiatif Agrobank dan Harian Metro menerusi program TKHM ini tercetus selepas mengambil kira situasi semasa negara yang dilanda Covid-19 sejak dua tahun lalu, dan berharap rumah kebajikan dapat memanfaatkan sektor pertanian demi kelangsungan, menghasilkan sumber makanan dan menjana hasil pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan lawatan di Taman Projek Hidroponik di Kompleks Waja, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, sistem dibangunkan itu akan menjadi satu modul pembelajaran untuk pelatih di PLPP dalam bidang pertanian.
“Alhamdulillah, kita dapat kerjasama baik daripada Agrobank untuk menjayakan satu lagi projek dan ia bertepatan dengan hasrat TKHM yang hendak membantu pihak berkeperluan.
“Kita mahu mereka di sini berdikari dan pertanian hidroponik ini adalah bidang yang boleh dilakukan sesiapa saja dengan mudah,” katanya.
Bagi Pengarah PLPP Ismail Kasan, pihaknya menyambut baik inisiatif itu kerana boleh mendayaupayakan orang kurang upaya (OKU) dalam bidang pertanian.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati dengan peluang diberikan Harian Metro dan Agrobank kepada PLPP untuk terbabit dalam program ini dan ia satu permulaan untuk kami mulakan kursus buat OKU ceburi bidang pertanian.
“Seramai 10 bekas pelatih terbabit dalam projek ini dan mereka akan mengikuti semua modul disediakan,” katanya.
Bekas pelatih, Mohd Ajwad Fadzil, 29, berkata, dia menjadi urusetia bagi projek tanaman itu dan sempat mengikuti seminar berhubung kaedah menjaga tanaman dan sudah diberi tugas masing-masing.
Rakannya, Nur Amira Amit, 33, pula menyambut baik pelaksanaan projek itu kerana manfaat besar kepada OKU seperti mereka, selain berpeluang untuk menjana pendapatan.
“Projek ini memang berguna untuk semua termasuk OKU kerana memberi peluang belajar cara kendalikan dan menanam sayuran. Ia secara tidak langsung beri peluang pekerjaan,” katanya. – HMOnline