Puchong: Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) diteruskan lagi dengan membawa keceriaan kepada 168 keluarga dari tiga perkampungan di sini, dalam menyambut Ramadan dan membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Kali ini Harian Metro dan UMW Toyota Sdn Bhd (Toyota) kembali menjalin kerjasama dalam menjayakan program TKHM bagi menyantuni golongan memerlukan di Kampung Tengah A, Kampung Tengah B dan Kampung Kuala Sungai Baru di sini.
Program di bawah kempen Toyota ‘Bersama Lebih Bermakna’ ini turut mendapat kerjasama Masjid Nurul Iman serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Program TKHM, Husain Jahit berkata, akhbar ini teruja diberi kesempatan turun padang bersama rakan strategik, Toyota dalam menyelami sendiri kesukaran dialami masyarakat seterusnya menyalurkan bantuan serta sumbangan diperlukan.
“Hubungan kerjasama ini bukanlah baharu, ia sudah pun terjalin sejak tahun 2017 lagi di mana pihak Toyota buat pertama kalinya ketika itu menjadi penaja kenderaan rasmi program TKHM- Khas Ramadan di Gelang Patah, Johor dan Gopeng, Perak sebelum mereka terus menawarkan kenderaan Toyota untuk digunakan dalam program TKHM.
“Pada hari ini, kita dapat menyaksikan Toyota kembali menjadi rakan strategik secara langsung dalam TKHM ketiga yang kami laksanakan pada Ramadan ini.
“Ia hanya dengan satu hasrat iaitu mahu menceriakan anak-anak asnaf dan keluarga memerlukan menerusi sumbangan bagi persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa serta Penyampaian Kotak Rezeki di Masjid Nurul Iman di sini, semalam.
Program diserikan dengan kehadiran Pengurus Pemasaran dan Penjenamaan UMW Toyota Motor, Muhamad Noriman Mustafa All Bakry; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad serta Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.
Turut hadir, Nazir Masjid Nurul Iman, Rashidi Mohd Yusoff serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya, M A Ramacantiran.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, program berkenaan sebagai inisiatif mereka mendekati komuniti dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutama pada Ramadan.
“Hari ini, kami bersama Harian Metro meluangkan masa bersama orang kampung, bergotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan melawat rumah yang memerlukan sumbangan selain menyumbang bagi membeli keperluan Aidilfitri untuk anak-anak golongan asnaf.
“Sekurang-kurangnya kami dapat berkongsi rezeki dengan mereka ini untuk membuat persediaan menyambut Aidilfitri selari dengan kempen kami ‘Bersama Lebih Bermakna’.
“Sebagai penaja rasmi, kami berhasrat meneruskan program sebegini pada masa akan datang supaya masyarakat mengenali Toyota bukan saja sebagai syarikat pengeluar kenderaan, tetapi komited dalam aspek kebajikan komuniti kerana kami juga turut menitikberatkan semangat kesukarelawan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu sebanyak 168 keluarga kurang berkemampuan termasuk golongan kurang upaya menerima sumbangan Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung sebelum diraikan dalam majlis berbuka puasa dengan juadah disediakan secara bergotong royong oleh jawatankuasa masjid, penduduk kampung serta sukarelawan Harian Metro dan Toyota.
Terdahulu pada sebelah pagi, 50 kanak-kanak asnaf dan fakir miskin dibawa ke sebuah pasar raya di Seksyen 18, Shah Alam bagi membeli kelengkapan Aidilfitri termasuk baju Melayu dan kurung, songkok, tudung dan lain-lain mengikut pilihan masing-masing dengan peruntukkan RM150 seorang.
Rombongan TKHM bersama Toyota turut berkesempatan menziarahi lima keluarga terpilih di kawasan berkenaan yang menerima sumbangan sejumlah wang tunai serta Kotak Rezeki. – HMOnline