Semenyih: Sambutan hari raya di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Kampung Sungai Purun di sini, diraikan dengan penuh makna oleh penghuni itu hari ini.
Tergambar keceriaan di wajah penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah dan Pusat Jagaan Nur Hasanah ketika disantuni pada Sambutan Aidilfitri Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Bank Berhad.
Pengerusi Affin Bank Berhad Datuk Agil Natt berkata, ia adalah komitmen pihaknya untuk membantu golongan memerlukan khususnya warga emas menyambut Aidilfitri dengan bermakna.
Katanya, beliau berharap zakat yang diberikan akan meringankan beban penerima yang memerlukan.
“Saya berharap wang ini dapat memberi manfaat kepada penerima.
“Saya difahamkan kegiatan di sini amat baik sekali dan InsyaAllah kumpulan Affin Bank boleh memberi sokongan pada masa akan datang,” katanya.
Hadir sama Pengarang Berita Harian Metro (HM) merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abdul Aziz; Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia Azman Rasman dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah Mohammad Azlan Abdul Rahman.
Pada majlis berkenaan, 65 penghuni ketiga-tiga rumah berkenaan menerima sumbangan.
Sementara itu, Noor Azam yang mewakili Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, HM juga berbesar hati dengan sokongan rakan korporat yang turut bersama-sama pada program itu.
Katanya, hubungan kerjasama HM dan Affin Bank bukanlah baharu, malah sejak 2016 lagi menerusi acara berbasikal lasak bersama Affin Islamic.
“Kita berbesar hati kerana hari ini, kami bersama-sama mengadakan program bagi menyantuni warga emas di pusat-pusat jagaan ini.
“Alhamdulilah program TKHM yang masuk tahun ke-15 ini sentiasa mendapat kerjasama daripada rakan korporat dan kita akan teruskan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – HMOnline