KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tertarik dengan E-Akhbar terbitan The New Straits Times Press (NSTP) yang boleh dibaca dalam aplikasi mudah alih dan komputer.
NSTP menawarkan replika Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro dalam bentuk E-Akhbar menerusi platform digital untuk pembaca.
Ia boleh dibaca seawal jam 12.30 tengah malam menerusi telefon pintar, tablet dan komputer.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang subscription.nstp.com.my untuk melanggan akhbar digital ini yang kandungannya sama seperti akhbar cetak.
Sempena perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) oleh Ismail Sabri di World Trade Centre (WTC) di ibu negara malam tadi, Pemangku Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkongsi aplikasi E-Akhbar berkenaan dengan Perdana Menteri.
Beliau menunjukkan minat supaya pegawai Pejabat Perdana Menteri menggunakan E-Akhbar dalam melaksanakan tugas berkaitan media.
NSTP adalah rakan strategik media PBAKL 2022 dan mengambil bahagian dalam pesta berkenaan dengan mempromosi dan menjual pelbagai jenama dalam rangkaian produknya.
Antara kelebihan E-Akhbar terbitan NSTP adalah ia boleh diulang baca bermula dari hari pertama langganan, boleh dibawa ke mana saja dan dibaca pada bila-bila masa melalui tiga peranti berbeza pada waktu yang sama pada harga serendah 46 sen satu naskhah.
Pelanggan juga boleh memilih pakej tempoh langganan selama seminggu, sebulan, tiga bulan, enam bulan dan setahun.
Terkini, NSTP menyediakan langganan istimewa serendah RM31.80 bagi setahun langganan khas untuk warga sektor pendidikan dan pelajar.
Langganan kombo digital dan cetakan juga ditawarkan dengan penghantaran terus ke rumah. – BHOnline