Kuala Lumpur: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengedarkan sebanyak 1,500 naskah tiga akhbar terbitannya secara percuma sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, di sini, tadi.
Sebanyak masing-masing 500 naskah Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Time (NST) diedarkan oleh Pengurus Besar Pengedaran NSTP, M Prakash di hadapan Stesen LRT Bukit Jalil, di sini.
Akhbar itu turut diedarkan bersama coklat wafer dan minuman kesihatan Good Morning bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, menjadi platform bagi rakyat untuk menyaksikan dan memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh satu tahun pentadbiran.
Pada program berkenaan juga sebanyak 36 reruai kaunter perkhidmatan disediakan pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan sebanyak 102 perkhidmatan secara langsung kepada rakyat termasuk pengurangan saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada program itu juga sebanyak 26 buah perkhidmatan bergerak turut disediakan antaranya pemeriksaan dan rawatan gigi percuma, kempen derma darah, pencerapan matahari oleh Planetarium Negara, perkhidmatan kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebanyak 183 usahawan terbabit dalam Jualan Mega MADANI yang merangkumi Jualan RAHMAH, Jualan MADANI Koperasi, Jualan Agro MADANI, Jualan MyGrocer@Wilayah, Jualan Usahawan, Jualan Anekarasa MADANI, Jualan Trak Makanan dan Padanan Perniagaan. – HM Online