KUALA LUMPUR: The News Straits Times Press (NSTP) Berhad mengungguli dua kategori utama sempena Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 (AMP 2023) malam ini.
Harian Metro menerusi wartawannya, Mohd Alhafiz Ithnin memenangi tempat pertama bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita, menerusi penulisan bertajuk ‘Mengurus Sisa Binaan, Denda RM10,000 Menanti, Terus Promosi Pembangunan Mampan Dalam Sektor Pembinaan’.
Satu lagi ketegori, turut dimenangi Mohd Alhafiz bersama rakannya, Mohd Fahmy Mohd Hashim, menerusi Anugerah Infografik bertajuk ‘Pemuliharaan Stadium Merdeka’, sekali gus melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 serta sijil bagi setiap kategori dimenangi.
Metro Ahad menerusi wakilnya, Nor Salim Mohamed Dawam dan Nor ‘asyikin Mat Hayin turut meraih tempat kedua bagi Anugerah Infografik, sementara Ahmad Yusri dan Tharanya Arumugam dari The New Straits Times, memperoleh saguhati, melayakkan masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM1,000 serta sijil.
Turut merangkul kemenangan pada AMP 2023 adalah jurufoto NSTP, Mohd Fadli Hamzah yang meraih tempat kedua bagi kategori Fotografi, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil.
Bagi ketegori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Dokumentari), ia dimenangi TV3 menerusi wartawannya, Irin Putri Azmi menerusi laporan bertajuk Majalah 3 – Misi Kembalikan Kuasa Kenyir.
TV3 juga meraih tempat ketiga bagi kategori sama menerusi wartawan, Safwan Sawi dan Fairuz Yazzer, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Penyampaian anugerah AMP 2023 malam ini disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
AMP 2023 adalah kali ke enam dianjurkan CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memberi penghargaan kepada media yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif kerajaan khususnya dalam industri pembinaan.
Buat pertama kalinya juga Anugerah Infografik diperkenalkan dalam AMP kali ini. Sebanyak 176 penyertaan diterima CIDB sejak penyertaannya dibuka Ogos lalu.
Alexander dalam ucapan ketika merasmikan AMP 2023 turut memberi komitmen untuk meneruskan penganjuran AMP pada tahun depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Alexander berkata Aplikasi MyJalan yang dilancar sebagai platform orang ramai membuat aduan berkaitan jalan rosak dan berlubang terus mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 5,440 aduan sudah diterima setakat 30 November lalu.
Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 1,435 membabitkan aduan berkenaan jalan seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan selebihnya sebanyak 4,005 aduan, di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lain.
“Menerusi Belanjawan 2024, KKR bakal menerima peruntukan sebanyak RM2.8 bilion untuk menyelenggara jalan raya dan jambatan di laluan Jalan Persekutuan selari hasrat KKR untuk terus memperkasakan Kempen MYJalan KKR,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, dalam usaha merancakkan digitalisasi sektor pembinaan, KKR menerusi JKR mensasarkan 50 peratus daripada projek bernilai RM10 juta ke atas untuk dilaksanakan melalui kaedah teknologi Building Information Modelling (BIM).
Selain itu, katanya teknologi BIM dan Industrial Building System (IBS) turut diperluaskan bagi projek perumahan awam dan swasta yang membabitkan projek perbandaran baru.
“KKR juga amat komited dalam melaksanakan inovasi berimpak tinggi yang diiktiraf di peringkat Kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Inovasi teknologi iSupervision dari JKR sudah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.
“Sistem ini sudah diguna pakai di empat projek hospital dengan keberhasilan pengawasan secara IoT yang lebih cekap, tanpa kaedah manual,” katanya.
Beliau berkata, kaedah ‘Tongue and Groove Shaped Concrete Drain’ JKR yang merupakan inovasi bagi kerja-kerja pemasangan longkang lebih berkualiti dan efektif telah diguna pakai di 35 projek JKR terutama di Pantai Timur.
“Pemerhatian turut diberikan untuk pemasangan Smart Traffic Light yang dilengkapi dengan kamera pintar (Artifical Intelligence) di persimpangan jalan yang terpilih di seluruh negara terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya. – BH Online