Kuala Lumpur: Harian Metro menerima Anugerah Liputan Media Terbaik 2022/2023 daripada EZ Qurban susulan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang dianjurkan bersama pada tahun itu.
Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, penerimaan anugerah kepada Harian Metro itu selepas program korban yang dianjurkan bersama memberi impak kepada rakyat di negara ini.
“Daripada program pertama kita ke Melaka, selepas itu ke Kuala Kubu dan tahun lalu kita ke Felda Chemomoi.
“Tiga tahun bersama (EZ Qurban dan Harian Metro) memberi impak yang besar khususnya ibadah korban tempatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam majlis penyampaian anugerah, kelmarin EZ Qurban turut mengumumkan Apresiasi Khas kepada Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim yang diwakili isterinya Noor Aida Noh, 39, dengan sumbangan sebanyak RM5,000.
Allahyarham meninggal dunia pada 2022 akibat jangkitan malaria dan kegagalan organ.
Sementara itu, Muhammad Hafeez berkata, pihaknya turut merancang untuk menganjurkan Program TKHM Korban bersama EZ Qurban di Indonesia pada tahun ini.
Beliau berkata, berkemungkinan penganjuran Program TKHM Korban bersama EZ Qurban ini akan dilakukan di Jogjakarta atau Cianjur, Indonesia.
Manakala di negara ini katanya, EZ Qurban merancang untuk menganjurkan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
“Kalau di Malaysia, mungkin kami akan libatkan Harian Metro bersama UPM Serdang. Ini kerana di situ ada pelajar dan pensyarah. UPM pun ada tanah besar dan kita sasarkan mungkin di situ,” katanya. – HM Online