Kuala Berang: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) disambut meriah penduduk Kampung Paya Besar, dekat sini, yang berlangsung hujung minggu lalu.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia Datuk Adnan Pawanteh berkata, hasrat program untuk bersama-sama memberi sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, umum mengetahui sejak November tahun lalu, sebahagian penduduk di negeri Terengganu berdepan banjir yang bukan saja mencabar, tetapi juga menguji ketahanan mental dan fizikal.
Katanya, pihaknya memandang serius terhadap bencana yang dialami oleh penduduk dan terpanggil untuk segera bertindak menerusi pelbagai program dan usaha menghulurkan bantuan yang laksanakan pihaknya.
“Dengan rendah diri, kami berganding bahu bersama Harian Metro dalam program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi tahun 2024, sebagai bentuk komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat.
“Sumbangan kecil yang kami hulurkan ini berupa Kotak Rezeki yang mengandungi produk makanan Nestle diharapkan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas,” katanya.
Hadir pada program berkenaan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Ketua Eksekutif Perniagaan, Cereal Partners Worldwide, Nestle Malaysia dan Singapura Norkhayati Mohamed Hashini dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro Noor Azam Abd Aziz.
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Zaidi Zulkifli, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Penolong Penguasa Bomba, Zulhisham Mohamad Yusop dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Paya Besar Mohd Isa.
Menurutnya, sebagai entiti korporat, kami komited untuk terus terbabit dalam usaha kebajikan dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Sementara itu Husain berkata, program berkenaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro bersama rakan niaga yang sudah dilaksanakan sejak 17 tahun lalu.
Menurutnya, program TKHM di Hulu Terengganu, di Kampung Paya Besar, kali ini menyantuni 100 keluarga yang terjejas akibat banjir.
“Diharap dengan sedikit bantuan ini akan memberi manfaat buat keluarga dan tanggungan mereka yang terkesan akibat banjir akhir tahun lalu.
“Kami mengagihkan Kotak Rezeki mengandungi pelbagai makanan yang diharapkan dapat meringankan beban mangsa banjir di sini,” katanya.
Menurutnya, program yang sudah berlangsung sejak 2007 itu diharap akan berterusan dalam menyantuni golongan sasaran dan memerlukan di seluruh pelusuk negara. – HM Online