Program Kembali Ke Sekolah anjuran Harian Metro menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestle Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Samak, Kuala Ketil menyantuni 80 murid terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan.
Semua murid sekolah rendah itu membabitkan tiga sekolah iaitu SK Kuala Samak, SK Tembak dan SK Baling.
Pengarah Eksekutif, Perundangan dan Kesetiausahaan Nestle Malaysia Tengku Ida Adura berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat terus menyumbang kepada keperluan masyarakat.
“Di Nestle kami sudah bertapak di Malaysia hampir 113 tahun kami berasa sangat berbesar hati kerana dapat terus menyumbang kepada keperluan masyarakat. “Sepanjang tahun ini, kami amat komited untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia melalui semua inisiatif yang kami lakukan.
“Dengan penuh rasa bangga, kami berganding bahu bersama Harian Metro dalam program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Nestle: Kembali Ke Sekolah bagi penggal persekolahan 2024 untuk menyantuni pelajar dari tiga sekolah yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
“Untuk pengetahuan sehingga kini, hampir 10,000 pelajar di Malaysia sudah mendapat manfaat daripada inisiatif Kembali Ke Sekolah yang kami laksanakan lebih sedekad lalu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara kedua pihak dapat memberikan impak positif.
“Dalam meneruskan usaha ini, kami berbesar hati dan amat teruja untuk bekerjasama dengan TKHM bagi memberi impak positif kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara.
“Semoga sumbangan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, beg, kasut sekolah, alat tulis serta pek makanan nutrisi ini dapat menjamin permulaan yang baik dan ceria untuk semua pelajar bagi penggal persekolahan yang baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhammad Safar Ahmad berkata, bantuan diberikan menceriakan pembukaan persekolahan murid terbabit.
“Alhamdulillah, kita sekali lagi mengadakan TKHM bersama Nestle. Ini kali kedua dengan mereka tahun ini. Pada Januari lalu kita buat Misi Bantuan Banjir di pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kali ini Kembali Ke Sekolah pula.
“Menerusi program ini kita berikan barangan kelengkapan sekolah, wang ringgit dan produk Nestle. Kita harap dengan bantuan diberikan ini dapat menceriakan mereka sempena pembukaan sekolah pada 10 Mac ini di negeri Kedah,” katanya.
Menurutnya, Harian Metro khususnya TKHM akan terus bekerjasama dengan Nestle.
“Insya-Allah, pada masa depan kita dapat jalankan program seumpama ini lagi dengan Nestle. Mungkin program bantuan untuk mereka yang kurang berkemampuan atau golongan memerlukan pula. Harap ia tak berakhir di sini.
“Kita amat terima kasih kepada Nestle kerana sudi bekerjasama dengan HM,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling, Mohd Termizi Husim, Guru Besar SK Kuala Samak, Abdul Khani Mat Ali dan Pengarah TKHM, Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz. – HM Online