Kuala Lumpur: Bersempena sambutan Ramadan tahun ini, Titipan Kasih Ramadan Harian Metro kembali dengan menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Membuka tirai program adalah kerjasama dengan McDonald’s Malaysia yang diadakan di Madrasah Al-Syukriah, Kg Pasir Baru, Pantai Dalam, baru-baru ini.
Menerusi program itu, 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian diberikan kepada penduduk sekitar Kg Pasir dan Pantai Dalam yang memerlukan.
Ketua Pegawai Teknologi McDonald’s Malaysia Zaid Hasman berkata, program kerjasama itu adalah tanggungjawab kepada komuniti Muslim termasuk dengan pembayaran zakat korporat yang dibuat setiap tahun.
“Selain menaja hidangan pada bulan Ramadan, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. Pada program ini, kita serahkan sumbangan barangan keperluan kepada penerima yang sudah disenaraikan oleh pihak madrasah.
“Kejayaan McDonald’s pada hari ini adalah kerana sokongan semua yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sehubungan itu, kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan dan kami komited menjalankan pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang boleh memberi impak positif, terutamanya kepada mereka yang berada di sekitar lokasi operasi kami.
“Setiap tahun, dianggarkan lebih 19,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan, membabitkan restoran McDonald’s di seluruh negara antaranya menjalankan Sambutan Hari Jadi bersama anak-anak yatim, sumbangan kepada barisan hadapan negara, sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Pantai Timur, sumbangan air kepada jemaah masjid berdekatan restoran setiap Jumaat dan lain-lain lagi,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini adalah komitmen berterusan McDonald’s Malaysia sebagai sebuah syarikat yang komited untuk jiran yang prihatin kepada masyarakat.
“Inisiatif dibuat juga bagi melunaskan kewajipan sebagai syarikat milik orang Islam. Dengan inisiatif ini, ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu dan hal ini juga sangat bertepatan dengan teras syarikat yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Selain itu, menerusi program sama McDonald’s Malaysia meneruskan usaha kemasyarakatannya sepanjang Ramadan ini dengan menaja hidangan moreh ke masjid dan surau di seluruh negara.
Program ini sudah memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya sejak ia dimulakan pada tahun 2015.
Program mengimarahkan Ramadan bukan saja dilaksanakan di semua restoran McDonald’s di seluruh Malaysia tetapi ia turut diperluaskan ke rumah anak-anak yatim yang akan dijalankan oelh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), selaku badan kebajikan pilihan syarikat itu.
Inisiatif lain adalah menjalankan pembayaran zakat korporat berjumlah hampir RM12 juta sejak syarikat itu mula membayar zakat pada tujuh tahun yang lalu.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro Husain Jahit berkata, pihaknya berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana memilih bekerjasama pada program kali ini.
“Ini bukan kali pertama kita dengan McDonald’s Malaysia, tapi macam tahun sebelumnya pelbagai program yang sudah dibuat bersama.
“Kerjasama ini juga bukti kita memberi fokus kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban kehidupan,” katanya.
Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro dimulakan pada sebelah pagi dengan aktiviti memasak bubur lambuk secara bergotong royong membabitkan sukarelawan TKHM, McDonald’s dan warga madrasah.
Ia kemudiannya diedarkan kepada penduduk kampung dan masjid serta surau berdekatan.
Program ini bakal diteruskan lagi di lokasi kedua di Alor Setar Kedah pada 19 Mac ini dan Seremban, Negeri Sembilan pada 27 Mac.
Nikmat rezeki di bulan mulia
Ketibaan Ramadan kali ini membawa sinar kepada 100 keluarga asnaf, B40 dan miskin bandar yang menetap di Kampung Pasir Baru di sini apabila disantuni menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama McDonald’s, baru-baru ini.
Ibu tunggal, Delina Md Shah, 50, menyifatkan sumbangan Kotak Rezeki meringankan bebannya dalam menyambut Ramadan dan persiapan Aidilfitri bulan depan ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup semakin tinggi.
Sejak suaminya meninggal dunia tiga tahun lalu, katanya dia menyara dua anak masih belajar dengan dibantu seorang anak yang sudah bekerja.
“Alhamdulillah, kebajikan saya terpelihara kerana pihak Madrasah Al-Syukriah tidak mengabaikan kami dengan selalu memberikan bantuan.
“Saya terharu kali ini, saya turut terpilih menerima bantuan dalam program TKHM yang saya anggap ia rezeki sempena bulan mulia ini.
“Terima kasih kepada semua, alhamdulillah adanya program macam ini boleh menjimatkan belanja golongan macam saya apatah lagi hendak raya memang guna duit banyak,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Madrasah Al-Syukriah, Kampung Pasir Baru.
Pada majlis itu, penerima sumbangan menerima satu Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan runcit dan keperluan dapur seperti susu, gula, minyak masak dan sebagainya.
Sumbangan itu disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit bersama Ketua Pegawai Teknologi McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman serta Pengerusi Madrasah Al-Syukriah, Muhammad Hazlan Hamdan.
Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarang Kanan Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.
Sementara itu, warga emas, Khalsiah Abdul, 72, yang menetap di kampung itu sejak kecil pula berkata, dia bersyukur dirinya terpilih menerima bantuan itu yang disifatkannya dapat menjimatkan perbelanjaan dapurnya selama sebulan.
“Saya diberitahu ahli jawatankuasa madrasah yang saya akan menerima bantuan ini ketika saya datang solat Terawih semalam (kelmarin).
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada penganjur kerana bantuan ini memang dapat ringankan beban belanja untuk sebulan,” katanya.
Harap jalinan kerjasama berterusan
Biarpun zaman berubah dan tinggal di tengah bandar pesat membangun, semangat muafakat penduduk Kampung Pasir Baru di sini, masih ditonjolkan dalam penganjuran sebarang majlis keraian.
Kali ini, acara tradisi bergotong-royong diteruskan lagi apabila Madrasah Al-Syukriah yang terletak di perkampungan itu menjadi tuan rumah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama McDonald’s, baru-baru ini.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat TKHM itu mengagihkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk kepada penduduk, jemaah masjid dan surau kawasan sekitar selain berkongsi rezeki dan meraikan golongan memerlukan dalam majlis berbuka puasa.
Program yang dimulakan seawal 8 pagi, menyaksikan puluhan penduduk serta sukarelawan Harian Metro dan McDonald’s turun bergotong-royong memasak bubur lambuk serta juadah berbuka puasa.
Istimewanya, ayam serta biri-biri disembelih sendiri penduduk sebelum dibersih, dilapah dan dimasak bersama sukarelawan.
Pengerusi Madrasah Al-Syukriah, Muhammad Hazlan Hamdan berkata, pihaknya berbesar hati dipilih dalam program kerjasama dua syarikat korporat itu yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Walaupun berpuasa, alhamdulillah program berjalan lancar sejak 8 pagi lagi penduduk dengan dibantu pasukan Harian Metro dan McDonald’s bergotong-royong menyediakan juadah berbuka dan lima kawah bubur lambuk.
“Ini kali pertama kami bekerjasama dengan korporat, namun sambutannya tetap menggalakkan dan meriah. Kita harap jalinan kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ditemui pada program berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Hazlan berkata, aktiviti gotong-royong sudah menjadi acara tradisi sejak sekian lama di kampung itu sekali gus menyerlahkan lagi semangat muafakat penduduk.
“Memang tradisi masyarakat sini, kami suka bergotong royong termasuk menyembelih haiwan sama-sama untuk dimasak sebelum diberikan kepada penduduk setempat.
“Pada program kali ini juga, kita sendiri menyembelih 25 ekor ayam dan tiga ekor kambing biri-biri untuk juadah berbuka puasa dan menyediakan sendiri bahan asas memasak bubur lambuk mengikut resipi penduduk sini,” katanya.
Katanya, sebanyak 2,000 pek bubur lambuk yang dimasak dalam lima kawah periuk berjaya diagihkan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitar menerusi tiga surau dan dua masjid. – HM Online