Kuala Lumpur: Titipan Kasih Ramadan Harian Metro menyuntik kelainan dengan berkongsi rezeki bersama kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Cheras, di sini, baru-baru ini.
Pada program ini, Harian Metro berganding bahu dengan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) yang mana penganjur berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa duit raya dan alat mainan pendidikan kepada 94 pesakit.
Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata, pihaknya sentiasa mencari kelainan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
“Titipan Kasih Ramadan ini satu daripada program di bawah Titipan Kasih Harian Metro (TKHM). Justeru, kita sentiasa mencari kelainan dalam setiap penganjuran. Sebelum ini, kita sudah ke rumah kebajikan, rumah orang miskin dan sebagainya.
“Jadi, bagi Titipan Kasih Ramadan ini kita menghubungi pihak HPKK untuk bersama-sama menjayakan program ini. Alhamdulillah, mereka menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan kita.
“Malah, bersempena 33 tahun Harian Metro (HM), saya harapkan HM terus gemilang di mata masyarakat terutama dari segi keprihatinan dan kebajikan yang kita buat bersama golongan memerlukan. Saya juga berharap agar lebih banyak syarikat korporat akan bekerjasama dalam projek TKHM ini,” katanya.
Menurutnya, program kali ini turut mendapat ‘lampu hijau’ daripada Pengerusi Affin Islamic
Musa Abdul Malek supaya ia dapat diteruskan.
“Hubungan kerjasama antara Harian Metro dan Affin Islamic bukanlah baharu, ia sudah pun terjalin sejak 2016 lagi, di mana pihak Affin Islamic ketika itu bersama HM dalam acara sukan berbasikal lasak, Harian Metro Mountain Bike selama dua tahun berturut-turut.
“Sejak itu, walaupun bukan melalui acara berbasikal lasak, namun hubungan baik antara kami diteruskan melalui program TKHM bersama Affin Bank dan Affin Islamic. Harapan kami semoga hubungan yang erat ini akan berterusan pada masa akan datang.
“Saya melihat kerjasama ini akan berterusan dengan Affin Islamic. Mereka juga komited dalam menjayakan program ini. Malah, Pengerusi Affin Islamic pun ada cakap nak teruskan program ini. Saya beranggapan program ini begitu baik apabila pergi ke hospital yang selama ini tidak diambil berat oleh orang kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Islamic Bank Berhad Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, Affin Islamic komited untuk menjalankan tanggungjawab menerusi inisiatif tanggungjawab korporat sosial seumpama ini.
“Kami komited untuk menjalankan program seumpama ini dengan menjadikan bulan Ramadan dan musim perayaan lebih ceria kepada kakitangan hospital dan kanak-kanak yang menerima rawatan di HPKK.
“Kami berbesar hati dapat meneruskan jalinan kerjasama dengan Harian Metro melalui TKHM ini untuk mewujudkan sokongan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Selain memberi sumbangan kepada pesakit kanak-kanak, seramai 50 kakitangan hospital yang juga golongan kurang berkemampuan dari pelbagai jabatan dan unit menerima sumbangan kotak rezeki.
Selain sumbangan itu, pihak penganjur turut bergotong-royong menyediakan 2,500 bekas bubur lambuk istimewa, yang diedarkan kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Polis Trafik Kuala Lumpur, Balai Polis Cheras dan Balai Bomba Bandar Tun Razak.
Agihan turut disampaikan kepada warga kerja Affin dan surau berhampiran, termasuk surau HPKK dan surau Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Affin Islamic, Musa Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
Harian Metro diwakili oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarang Kanan Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih, Noor Azam Ab Aziz.
Turut hadir Pengarah HPKK, Prof Datuk Dr Ismail Sagap. – HM Online