Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro bersama jenama produk penjagaan wajah dan diri halal terkemuka, SAFI melengkapkan siri penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sepanjang bulan mulia ini.
Buat julung kalinya juga, Harian Metro berganding bahu bersama SAFI menyantuni 150 golongan ibu tunggal dari sekitar Lembah Klang dengan menyampaikan sumbangan diperlukan sebagai tanda keprihatinan penganjur kepada mereka untuk tampil lebih berkeyakinan dan memperkasakan jati diri.
Istimewanya, semua ibu tunggal itu diraikan pada satu majlis penyampaian sumbangan kotak rezeki dan majlis berbuka puasa yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Bandar Tun Razak, di sini, baru-baru ini.
Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Kawalselia SAFI Rozaina Mahmod berkata, pihaknya menyambut baik dan memberikan sokongan penuh bagi menjayakan program Titipan Kasih Ramadan itu.
“Terima kasih kepada Harian Metro atas penganjuran program ini. SAFI bukan saja menghasilkan produk untuk kegunaan orang ramai terutama wanita, sebab kami percaya setiap wanita ada nilai mereka tersendiri. Kami nak menerapkan keberdayaan diri mereka.
“Jadi, kami sangat menyokong program CSR sebegini supaya dapat berkongsi dan memberikan cahaya serta keyakinan kepada ibu tunggal untuk terus bangkit dalam memacu masa depan mereka supaya lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, pemilihan golongan sasar iaitu ibu tunggal sebagai penerima sumbangan kotak rezeki pada program ini bertepatan dengan sokongan diberikan.
“Mereka sangat dekat di hati kami juga, sebab ia golongan yang dipandang remeh mungkin oleh masyarakat kerana pelbagai masalah dan persepsi terhadap diri mereka. Tetapi, mereka perlukan sokongan.
“SAFI sangat menitikberatkan sokongan moral kepada ibu tunggal ini. Menerusi sokongan penjagaan produk, bagi kami apabila mereka yakin dengan diri sendiri melalui penjagaan diri yang rapi, insya-Allah, mereka lebih berjaya lagi pada masa hadapan,” katanya.
Sedikit kelainan berbanding program sebelum ini yang mana sumbangan kotak rezeki berupa produk penjagaan diri SAFI.
“Kami tahu selalu orang berikan produk makanan, kali ini kotak rezeki berupa produk penjagaan diri SAFI. Kami nak beritahu masyarakat yang mana produk apa pun sebenarnya boleh kongsikan rezeki itu.
“Jadi, produk SAFI yang sudah lama berakar umbi dalam kalangan wanita Malaysia, kami nak mereka lebih yakin luar dan dalam. Bagi kami kecantikan seseorang wanita itu hadir daripada dalaman yang membuatkan luaran lebih berseri-seri lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata, objektif SAFI untuk program ini adalah terus memberdayakan wanita khususnya ibu tunggal supaya mereka ini tidak terasa terpinggir dan terbeban dalam mengharungi kehidupan mereka seharian.
“Harian Metro berasa amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama terkenal SAFI untuk menyantuni ibu tunggal sempena menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Sebagai rakan media, kami berperanan sebagai ‘jambatan’ atau ‘penghubung’ kepada rakan strategik dengan masyarakat. Alhamdulillah, berkat kemurahan hati dan sokongan padu yang diberikan oleh rakan-rakan korporat seperti SAFI, program Titipan Kasih Harian Metro ini yang diperkenalkan sejak 17 tahun lalu masih mampu terus bertahan,” katanya.
Selain penyampaian sumbangan, program itu turut menampilkan Ahli Dermatologi Dr Syairah Nadia Mohamad yang berkongsi mengenai kepentingan dan kebaikan menggunakan produk penjagaan wajah dan syampu SAFI khusus bagi wanita yang bertudung.
Selain itu, majlis turut mengundang Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan yang memberikan perkongsian serta tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa.
Majlis turut dihadiri Pengurus Jaminan Kualiti SAFI, Haniza Md Sahar; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad; dan Pengarang Berita Kanan, Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Terima rezeki kala ekonomi ‘perit’
Keunikan dan pengisian program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama SAFI tidak hanya memberikan keceriaan buat 150 ibu tunggal menjelang Syawal ini, tetapi turut memberi keyakinan kepada mereka untuk terus bangkit mengharungi kehidupan yang lebih baik. Bukan itu saja, selain pemberian sumbangan Kotak Rezeki perkongsian mengenai produk penjagaan diri oleh Ahli Dermatologi SAFI, Dr Syairah Nadia Mohamad serta Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan memberi input yang cukup bermakna buat golongan dirai.
Penerima, Asmarani Hidayah Abdul Halim, 44, gembira dan terharu kerana jarang mendapat peluang untuk hadir majlis seperti ini.
Katanya, pemberian kotak rezeki dalam keadaan ekonomi yang perit ini sangat bernilai untuk dimanfaatkan terutama di bulan Ramadan dan Aidilfitri ini.
“Tahun ini masyarakat terutama yang mempunyai anak-anak menempuh dua situasi mencabar iaitu persiapan persekolahan anak dan bulan Ramadan.
“Perbelanjaan sangat besar dan membebankan. Oleh itu, sumbangan yang diberikan Harian Metro dan SAFI ini sedikit sebanyak membantu saya,” katanya yang juga ibu empat anak.
Asmarani Hidayah berkata, program ini juga cukup bermakna buatnya kerana tidak hanya diraikan pada majlis berbuka puasa, tetapi memberi energy booster dalam menempuh kehidupan yang mencabar ini menerusi sesi perkongsian daripada Ahli Dermatologi Dr Syairah Nadia Mohamad.
“Sesi perkongsian mengenai produk kecantikan SAFI juga sangat membantu dari segi keterampilan diri.
“Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Namun, ramai dalam kalangan ibu tunggal yang berasa tidak yakin dengan diri sendiri termasuk menjaga kecantikan.
“Jadi, dengan sesi perkongsian dari pakar dermatologi SAFI sendiri, ia memberi keyakinan kepada kami untuk terus menjaga kecantikan diri walaupun hanya berada di rumah,” katanya.
Menurut Asmarani, dia gembira dan percaya apa diberikan Harian Metro dan SAFI ini sangat membahagiakan wanita di luar sana.
“Oleh itu, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan memberi lebih manfaat kepada ibu tunggal di luar sana terutama mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, bagi Shafiza Noran Shafie, 48, program TKHM bersana SAFI ini sangat unik dan berbeza dengan program yang pernah dihadirinya.
Katanya, tidak seperti majlis berbuka puasa yang biasa dihadirinya, TKHM bersama SAFI ini cukup bermakna dengan perkongsian ilmu yang cukup bermakna.
“Sebagai ibu yang terpaksa berjuang untuk membesarkan 10 orang anak, sesi perkongsian daripada dua pakar ini dapat meningkatkan keyakinan dalam menjaga keterampilan diri dan memberi kekuatan serta semangat untuknya meneruskan perjuangan sebagai ibu tunggal.
“Sebenarnya, tidak ramai yang tahu sesetengah ibu tunggal ini takut dengan reaksi segelintir masyarakat mengenai status mereka.
“Keadaan ini membuatkan mereka sentiasa dalam ketakutan, tidak berkeyakinan dan tidak bersemangat untuk kembali aktif.
“Jadi, dengan perkongsian hidup dan kata-kata semangat dari kedua pakar ini, kami tidak hanya dapat memperbaiki diri, tetapi ia memberi kami semangat semula dan membuktikan bahawa ibu tunggal juga boleh hidup seperti orang lain,” katanya.
Pemberian Kotak Rezeki berupa produk penjagaan diri dari SAFI kata Shafiza secara tidak langsung membantu mereka untuk tampil lebih yakin lebaran nanti. – HM Online