Kuala Lumpur: Buat julung kali, Harian Metro bekerjasama dengan jenama produk penjagaan kulit dan diri halal terkemuka, SAFI menyantuni 150 ibu tunggal di sekitar Lembah Klang menerusi Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro Bersama Safi.
Berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak, mereka tidak hanya dirai pada majlis berbuka puasa tetapi turut menerima sumbangan kotak rezeki berupa barangan penjagaan diri.
Sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan kepada golongan ini untuk tampil lebih berkeyakinan dan memperkasakan jati diri.
Pengarang Kumpulan Harian Metro Merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata Harian Metro merasa amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan SAFI dalam menyantuni golongan ibu tunggal sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Sebagai rakan media, jalinan kerjasama ini adalah salah satu bukti keprihatinan Harian Metro untuk sama-sama turun padang mendekati golongan ibu tunggal dan menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Kawalselia SAFI, Rozaina Mahmud, Ahli Dermatologi, Dr Syairah Nadia Mohamad dan Pengurus Jaminan Kualiti SAFI, Haniza Md Sahar.
Turut hadir Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Sementara itu, Rozaina berkata pihak SAFI berbesar hati menghulurkan sumbangan kotak rezeki berupa produk kecantikan dan penjagaan SAFI kepada seramai 150 ibu tunggal ini.
Katanya, program ini adalah usaha untuk terus memperkasa wanita khususnya ibu tunggal agar mereka tidak terasa terpinggir dan terbeban dalam mengharungi kehidupan seharian.
“SAFI mahukan golongan ibu tunggal sentiasa mempunyai keyakinan diri dalam melaksanakan tugasan harian di tempat kerja dan sentiasa berketrampilan dalam apa-apa jua keadaan.
“Dengan adanya keyakinan diri yang tinggi, mereka akan lebih terbuka kepada peluang yang lebih baik,” katanya.
Rozaina berkata, SAFI juga sentiasa menitikberatkan nilai keberdayaan wanita Malaysia.
“Ini dapat dizahirkan dengan pelbagai rangkaian produk SAFI yang diformulasi khas untuk wanita Malaysia agar sentiasa mempunyai keterampilan diri yang positif.
“Hasil dari menggunakan produk SAFI, kami melihat wanita ini mampu memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Di SAFI, kecantikan wanita bukan hanya pada luaran semata-mata tetapi yang penting ialah kecantikan keperibadian mereka,” katanya.
Antara produk yang dihasilkan di bawah jenama terkenal SAFI terdiri daripada siri penjagaan kulit, ubat gigi, talkum, syampu, lulur mandi, losyen tangan dan badan, kosmetik, wangian, rangkaian dandanan rambut untuk lelaki, pembersih peribadi wanita serta terbaharu rangkaian penjagaan bayi.
Kesemua rangkaian produk berkenaan diperbuat daripada bahan semula jadi yang terpilih, berkualiti serta halal. – HM Online