Siri Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro bersama McDonald’s Malaysia berakhir dengan jayanya pada majlis yang diadakan di Masjid Saidatina Khadijah, Seremban Jaya, di sini, 27 Mac lalu.
Sama seperti di dua lokasi sebelumnya, program ini turut meraikan 100 penerima sumbangan Kotak Rezeki terdiri golongan asnaf, kurang berkemampuan dan B40 di sekitar Seremban.
Malah, pada program kali ini penganjur melalui Yayasan Jaafar Ahmad turut memberi sumbangan kepada enam rumah anak yatim dengan jumlah keseluruhan RM14,000.
Antara rumah anak yatim terbabit adalah Madrasah Hayatul Islam Chenor; Madrasah Hayatul Islam Rembau; Madrasah Dinul Hayah Kuala Pilah; Pusat Jagaan Nur Nusari; Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan.
Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia dan merangkap Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya berpuas hati dengan kesemua program bersama Harian Metro.
“Mewakili McDonald’s, kami amat berpuas hati dengan sambutan di setiap lokasi yang diadakan. Ramai penduduk yang hadir untuk berbuka bersama.
“Insya-Allah, tahun depan kita boleh perluaskan ke negeri lain di Pantai Timur dan mungkin di Sabah atau Sarawak yang jarang dapat disantuni melalui program seumpama ini,” katanya.
Menurutnya, Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro bersama McDonald’s bertujuan menyantuni komuniti memerlukan pada bulan Ramadan ini.
“Salah satu ibadah dalam Ramadan adalah kita berkongsi rezeki dengan komuniti yang memerlukan. Justeru, kami berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban kewangan mereka serta hidangan moreh yang disediakan dapat memberi keceriaan kepada masyarakat.
“Inisiatif ini adalah antara tanggungjawab kami kepada komuniti Muslim sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam. Semoga restoran McDonald’s akan terus menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti yang memerlukan dan akan terus membawa kemakmuran kepada masyarakat di sekitarnya ,” katanya yang juga anak kelahiran Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais McDonald’s Malaysia Hilmy Sulaiman berkata, program Ramadan yang dijalankan McDonald’s adalah komitmen berterusan dan tanggungjawab mereka kepada komuniti Muslim.
“Program sepanjang Ramadan ini menjadi antara keutamaan kami setiap tahun kerana ia adalah bulan mulia kepada kita sebagai umat Islam. Alhamdulillah, sudah 10 tahun kita menjalankan aktiviti ini dan lebih 300 masjid dan surau kami akan kunjungi setiap tahun.
“Selain daripada program bulan Ramadan, McDonald’s Malaysia juga konsisten menjalankan Rukun Islam Ketiga iaitu membayar Zakat Korporat sejak 2017. Hampir RM12 juta sudah dizakatkan kepada setiap negeri di Malaysia melalui pusat pungutan zakat.
“Usaha ini bukan sahaja dilaksanakan kerana kewajipan sebagai perniagaan yang dikendalikan
oleh orang yang beragama Islam, tetapi juga didukung atas teras syarikat untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata, lokasi terakhir program ini dianggap istimewa kerana dihadiri mantan Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri selaku penceramah jemputan.
“Alhamdulillah, pada pusingan ketiga program bersama McDonald’s ini kita dapat menghadirkan Datuk Seri Dr Zulkifli. Pastinya, kehadiran beliau sangat dinantikan seterusnya mendengarkan ceramah yang disampaikan.
“Semoga kerjasama dengan pihak McDonald’s akan berterusan dan kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.
Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro bersama McDonald’s Malaysia dimulakan jam 8 pagi menerusi acara memasak dan menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong membabitkan sukarelawan Harian Metro, McDonald’s dan ahli kariah masjid.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyerahan bubur lambuk kepada beberapa agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Senawang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Senawang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Program turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Penutup program diakhiri dengan penyerahan Moreh Mekdi selepas selesai solat tarawih.
Pemberian Kotak Rezeki sentuh hati 100 penerima
Program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro bersama McDonald’s Malaysia di Masjid Saidatina Khadijah, Seremban Jaya di sini, baru-baru ini, menyentuh hati dan perasaan 100 penerima sumbangan Kotak Rezeki.
Mana tidaknya, rata-rata daripada mereka kini bergelut dengan kesukaran hidup lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barang dan kos sara hidup yang mencabar.
Bagi Fatimah Kalarani Abdullah, 54, yang bergelar ibu tunggal, membesarkan lima anak sendirian agak mencabar, namun dengan sokongan dan bantuan orang sekeliling membuatkannya lebih tabah.
“Saya berpisah dengan suami kira-kira empat tahun lalu dan hanya bekerja sebagai tukang cuci di masjid ini untuk membesarkan lima anak sendirian. Dua daripada mereka masih bersekolah dan seorang baru tamat sekolah.
“Bantuan sebegini mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, namun bagi saya ia menyentuh hati dan amat besar maknanya. Bukan nilai sumbangan yang dipandang, namun sokongan dan bantuan ini yang menguatkan saya,” katanya ketika ditemui.
Seramai 100 individu menerima Kotak Rezeki yang mengandungi barang keperluan dapur pada program yang bermula dari jam 8 pagi dengan kerjasama McDonald’s Malaysia.
Pelbagai program kerohanian diselitkan selain acara memasak bubur lambuk dan pengagihannya kepada lima agensi barisan hadapan serta majlis berbuka puasa.
Norashimah Jamaludin, 49, berkata, keluarganya diuji apabila suaminya yang menjadi tempat bergantung hilang upaya selepas terbabit kemalangan pada 2015.
“Ketika itu suami bekerja sebagai pemandu lori. Akibat kemalangan ketika bekerja di Jasin, Melaka, suami tidak dapat berjalan dalam tempoh yang agak lama sekali gus kami hilang punca pendapatan.
“Kami juga diuji apabila dua daripada tiga anak adalah orang kurang upaya (OKU). Namun, bersyukur apabila mendapat bantuan daripada agensi kerajaan dan swasta seperti yang dilakukan Harian Metro serta McDonald’s ini,” katanya.
Pesara tentera, Rahim Mat, 64, berkata, tidak banyak kerja yang dapat dilakukan dengan usianya sekarang dan hanya bergantung kepada wang pencen.
“Kehidupan mesti diteruskan. Ada hari tertentu yang sukar, namun saya usahakan juga supaya saya dan isteri tidak berlapar.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, kami perlu berjimat cermat, namun dengan adanya bantuan seperti ini, sedikit sebanyak melegakan kami lebih-lebih lagi banyak wang digunakan untuk persediaan Ramadan dan Aidilfitri ,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Saidatina Khadijah, Mohammad Esa Senin berkata, kebanyakan penduduk di bawah kariah berkenaan terdiri daripada golongan B40.
“Sebahagian daripada mereka masih lagi terkesan dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan kehilangan kerja. Apabila keadaan pulih kembali, mereka tidak mendapat pekerjaan dengan gaji yang stabil terutama bagi penduduk yang berusia 50 tahun ke atas.
“Kami di masjid ini sangat meraikan kehadiran Harian Metro dan McDonald’s untuk menyantuni penduduk di sini dan saya nampak mereka gembira. Semoga budi ini dikenang anak kariah,” katanya. – HM Online