KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berjaya melepasi sasaran jualan RM50,000 langganan baharu bagi tiga akhbar digitalnya sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) melabuhkan tirainya Ahad ini.
Eksekutif Kanan, Unit Pembangunan Perniagaan NSTP, Wan Fazly Hitam Wan Kadir, berkata sambutan menggalakkan itu membuktikan ketiga-tiga akhbar arus perdana serta tabloidnya tetap relevan dalam menyajikan maklumat semasa kepada segenap lapisan masyarakat.

“Sasaran jualan RM50,000 langganan dicapai pagi tadi dengan setiap pelanggan mendapat akses percuma akhbar digital Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) selama tujuh hari apabila mereka imbas kod QR di reruai NSTP.
“Di samping akhbar digital, reruai ini juga menjual buku yang diterbitkan NSTP yang meliputi karya ‘Lat The Early Series’, ‘Tunku In His Own Words’ dan ‘Dedikasi & Integriti Tun Abdul Razak 1922-1976’ mencatat jumlah kira-kira RM10,000,” katanya.

Reruai NSTP menawarkan pelbagai aktiviti dan tawaran menarik sepanjang berlangsungnya PBAKL kali ke-41 antaranya pakej langganan e-paper, jualan produk dan buku terbitan syarikat dengan harga istimewa.
Selain itu, Wan Fazly Hitam berkata, edaran percuma 4,000 naskah tiga akhbar NSTP diteruskan bagi menggalakkan orang ramai membaca akhbar dan memperoleh maklumat semasa yang sahih.
“Sejak hari pertama, NSTP mengedarkan ketiga-tiga akhbar keluaran NSTP kepada pengunjung PBAKL.
“Setakat ini akhbar digital NSTP juga melepasi sasaran langganan, hasil promosi kepada pelajar dan penuntut universiti dengan promosi pendaftaran akhbar digital pada harga RM31.80 setahun,” katanya.
Pada masa sama, reruai NSTP juga menjual cenderhati Anugerah Bintang Popular serta kesemua produk yang ada di platform NSTP.
“Kita sangat berbangga dapat mengetengahkan produk NSTP untuk dimiliki orang ramai.
“Di samping itu, bagi pembelian barangan keluaran NSTP seperti novel akan diberi hadiah percuma iaitu Beg Biskut Julie’s yang ditaja Julie’s Manufacturing Sdn Bhd,” katanya. – BH Online