BATU PAHAT: Pembaca setia akhbar terbitan The New Staits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Pasar Sabtu Senggarang, di sini, turut menerima cenderahati dengan pembelian Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) atau The New Straits Times (NST) hari ini.
Pengunjung turut berpeluang mendapat hadiah istimewa sumbangan penaja, antaranya cecair nyahkuman jenama Walch, produk masakan jenama Maggi, kopi pracampuran Nestle, Nescasfe Gold, serbuk minuman Teh Cap Panglima, beras jenama Bernas dan barangan eksklusif seperti tuala serta payung berlogo NSTP dengan setiap pembelian akhbar keluaran NSTP.
Pesara kerajaan, Salman Abdullah, 66, berkata keluarganya memang pelanggan setia akhbar terbitan NSTP kerana cara penulisan di BH, HM dan NST menarik serta ringkas bersama kualiti berita serta padat dengan informasi terkini.
“Saya selalu baca BH kerana berita mudah untuk difahami, lagi-lagi warga emas macam saya. Isteri juga gemar membaca HM sebab beritanya pun sangat menarik, manakala anak-anak membaca kedua-dua akhbar. Saya juga langgan NST untuk anak-anak bagi tujuan penguasaan bahasa Inggeris mereka,” katanya.
Salman berkata, beliau juga menjadikan berita dimuatkan sebagai sumber rujukan pembelajaran untuk anak-anak kerana banyak informasi terkini boleh dipelajari, khususnya oleh pelajar sekolah mahupun penuntut universiti bagi memperolehi maklumat tepat dan sahih.
“Berita di akhbar terbitan NSTP berkualiti, secara tidak langsung ia dapat memberi maklumat tepat kepada mereka yang memerlukan berita sahih,” katanya.
Rosmah Pet, 54 dari Kampung Parit Kemang, pula berkata, walaupun berita terkini boleh didapati dengan cepat di media sosial, beliau tetap membeli akhbar terbitan NSTP kerana lebih puas apabila dapat membaca sambil memegang surat khabar serta melihat gambar yang lebih banyak dan menarik.
“Habis baca semua berita, saya akan simpan akhbar berkenaan, kadang-kadang kalau nak dapatkan sesuatu maklumat, saya akan semak semula akhbar itu bagi memastikan berita berkenaan adalah tepat,” katanya berharap jualan naskhah promosi bersama cenderahati oleh NSTP diadakan setiap minggu kerana akhbar masih mendapat sambutan orang ramai.
Sementara itu, Pengurus Jualan dan Pemasaran NSTP Cawangan Johor, Abdul Rahman Abdul Rahim, berkata pihaknya akan meneruskan jualan naskhah promosi bersama cenderahati berkenaan sekali setiap bulan di seluruh daerah di Johor.
“Selepas ini, kita akan fokus jualan di luar bandar kerana di Johor ini terkenal dengan pasar pagi di kawasan itu yang mempunyai pengunjung ramai. Tujuan promosi ini bagi menghargai pelanggan setia BH, HM dan NST dalam kalangan penduduk di daerah Batu Pahat,” katanya.
Jelajah promosi berkenaan diadakan di bandar Bandar Batu Pahat semalam, diikuti Pekan Senggarang hari ini dan akan ke Pekan Sri Medan esok. – BHOnline