KUALA LUMPUR: Prihatin dengan keperluan murid di sekolah yang terjejas banjir untuk meneruskan pelajaran, Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima hari ini menyerahkan sumbangan peralatan komputer dan pembelajaran kepada dua sekolah rendah yang memerlukan di Sri Muda, Shah Alam.
Sumbangan keseluruhan bernilai RM137,633 itu merangkumi 40 komputer riba, satu komputer dan satu papan putih kepada Makmal Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda serta tiga komputer, tiga mesin pencetak dan lapan papan putih kepada prasekolah SK Taman Sri Muda 2.
Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan MPB, Rafiq Razali kepada Guru Besar SK Taman Sri Muda, Siti Halijah Sarani dan guru yang juga Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Muhamad Nasyrul Syahmi Sahrom.
Rafiq berkata, MPB berharap sumbangan itu memberi manfaat kepada sekolah dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti dapat berjalan lancar.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang Tabung Bencana NSTP-Media Prima kerana sumbangan mereka membolehkan kami menyalurkan sumbangan kepada dua sekolah ini.
“Insya-Allah, kami mungkin bekerjasama juga dengan sekolah di luar Selangor pada masa depan. Kami akan terus berusaha menyampaikan amanat diberikan melalui tabung ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Balai Berita Bangsar di sini, hari ini.
Rafiq berkata, pada tahun lalu, Tabung Bencana NSTP-Media Prima menerima lebih RM1 juta sumbangan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan, termasuk mangsa bencana dan bantuan perubatan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) amat dekat di hati kami. Kami sangat aktif dalam aktiviti ini dan akan diteruskan terutama dengan sokongan kuat orang ramai kepada tabung ini.
“Sehingga kini, ratusan ribu rakyat Malaysia sudah mendapat manfaat daripada sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima,” katanya.
Sementara itu, Siti Halijah mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan melalui tabung berkenaan kepada sekolahnya.
“Insya-Allah, dengan sumbangan ini, ia memberi manfaat kepada murid di sekolah saya,” katanya.
Muhamad Nasyrul Syahmi turut menghargai sumbangan berkenaan, yang akan membantu murid dalam sesi pembelajaran.
“Terima kasih kepada semua penyumbang. Kami amat menghargai sumbangan ini,” katanya. – BHOnline