BATU PAHAT: Jualan akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bersama pemberian cenderahati secara promosi di Pasar Awam Batu Pahat di sini, hari ini, menarik perhatian ramai.
Suri rumah, Norzalina Mohd Arif, 51, berkata beliau menyokong usaha pihak NSTP itu dalam usaha mendekati pembaca.
“Suatu ketika dahulu, saya dan keluarga selalu pergi ke karnival atau pasar. Di situ, sering ada jualan akhbar secara promosi pada harga lebih murah.
“Paling menyeronokkan ialah selain membeli akhbar, pengunjung juga dapat melakukan aktiviti santai permainan dan memenangi beberapa hadiah eksklusif daripada Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) atau New Straits Times (NST).
“Usaha pihak penerbitan akhbar turun padang dan membuat jualan seperti ini amat bagus, termasuk dapat mendekati pembaca,” katanya.
Norzalina berkata, beliau yang melanggan ketiga-tiga akhbar terbitan NSTP, tidak melepaskan peluang untuk menyokong jualan yang diadakan itu.
Beliau turut menyifatkan kandungan berita dalam akhbar HM, BH dan NST sebagai bagus, amat bermaklumat serta dapat menarik perhatian pembaca hingga kini.
Sementara itu pesara awam, Maulud Bidin, 69, berkata sebagai warga emas, membaca akhbar cetak masih menjadi pilihannya.
“Boleh saja kalau mahu membaca berita melalui telefon pintar, namun saya lebih suka serta puas hati apabila membaca surat khabar yang dapat dipegang,” katanya. – HMOnline