KOTA KINABALU: Media Prima-NSTP memenangi tiga hadiah utama dan enam merit dalam majlis anugerah media Kinabalu Press Awards 2023 di sini malam ini.
Wartawan sambilan Berita Harian, Rafiqah Dahali memenangi anugerah hadiah utama bagi kategori Anugerah Laporan Berita (Bukan Rencana) dalam Bahasa Melayu untuk laporan bertajuk ‘Sekolah Jalanan’ anak miskin.
Beliau turut memenangi satu anugerah merit bagi kategori Laporan Hiburan, Budaya dan Seni dalam bahasa Melayu.
Wartawan New Straits Times, Olivia Miwil memenangi tiga anugerah merit masing-masing dalam kategori Anugerah Laporan Sukan, Laporan Perniagaan dan Ekonomi serta Laporan Alam Sekitar untuk bahasa Inggeris.
Wartawan Media Prima (TV3), Safwan Sawi, Mohammed Fairuz Yazzer dan Azaman Awang memenangi dua anugerah utama bagi anugerah Laporan Hiburan, Budaya dan Seni dalam bahasa Melayu (Penyiaran) yang bertajuk ‘Hongkod Koisaan Kembali Meriah’ dan Laporan Alam Sekitar dengan tajuk ‘Hari Gajah Sedunia’.
Selain itu, TV3 turut memenangi satu anugerah merit bagi kategori Anugerah Kewartawanan Penyiaran dalam bahasa Melayu.
Sementara itu, jurugambar sambilan NSTP Mohd Adam Eussoffefuddin turut memenangi satu anugerah merit bagi kategori Anugerah Kewartawanan Fotografi. – BH Online