PUTRAJAYA: Pengunjung Karnival Jom Heboh (KJH) anjuran Media Prima Berhad (MPB) berpeluang merasai pengalaman unik di pameran dinosaur ‘Dinoland Glow In the Dark’ kendalian The New Straits Times Press Berhad (NSTP) bermula hari ini di tapak karnival di Presint 3, di sini.
Di pameran itu, terdapat 10 patung dinosaur yang boleh bergerak dan statik ditempatkan dalam terowong dengan keunikan sinaran menyerlahkan lagi haiwan purba itu.
Pengurus Besar Jabatan Pengedaran NSTP, Prakash Munusamy berkata, sambutan hari pertama di reruai NSTP pada Karnival Jom Heboh Putrajaya memang menarik, sejak pagi lagi sudah ramai pengunjung.
“Tiada had masa penerokaan, boleh ambil gambar di dalam terowong purba dengan keluarga. Menyedari cuaca panas, terowong juga dilengkapi sistem penyaman udara untuk suasana sejuk dan nyaman kepada pengunjung.
“Hari ini adalah hari pertama dibuka, memandangkan hari ini adalah hari bekerja mungkin jumlahnya tidak begitu ramai dan dijangka bertambah pada hujung minggu ini dengan menyasarkan 3,000 pembeli tiket.
“Kita galakkan penduduk Putrajaya dan sekitarnya untuk datang beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengunjung yang membeli tiket masuk ke Dinoland juga berpeluang mendapatkan tiket masuk kanak-kanak ke taman tema air terbesar, Splash Mania ditawarkan pada harga istimewa terhad kepada 150 pengunjung terawal.
Pelbagai aktiviti turut diadakan di reruai NSTP ini seperti cabutan bertuah dan pemberian beg goodie secara percuma ada tiga akhbar terbitan NSTP iaitu akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro selain menampilkan rangkaian produk Media Prima seperti TV3, TV9, NTV7, Tonton, WOWShop.
“Beg goodie itu terdapat sekali barangan penaja kita iaitu CocoaLand, Mamee, wafel coklat, roti-roti keluaran MASSIMO dan Teh Cap Panglima keluaran Sin Seng Yap.
“Kita juga sediakan penjualan barangan NSTP seperti payung ABPBH 35, tote bag (beg jinjing) dan beg kasut yang setiap satunya berharga RM15,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Norhayati Md Noor, 46, dari Kajang berkata, Dinoland itu menampilkan kelainan kerana dinosaur robotik itu seolah-olah hidup, sekali gus menambah rasa teruja kepada kanak-kanak.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang Utama berkata, beliau berminat berkunjung ke karnival itu melalui iklan yang disiarkan di TV3.
“Memang berbaloi ke Dinoland Glow In the Dark, sebab selain ada tawaran cabutan bertuah, harga tiket masuk hanya RM20 untuk sekeluarga tak kira berapa orang.
“Reruai Dinoland ini menarik dan mungkin saya boleh menghebahkan kepada murid untuk hadir melawat ke sini,” katanya.
Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang Utama, Nur Amelyn Qistina Mahthir, 11 berkata, dia amat teruja menyelami suasana zaman purba dengan melihat pelbagai jenis dinosaur yang ‘dihidupkan kembali’ termasuk telur yang sudah menetas sambil merakam gambar di Dinoland.
“Saya seronok namun memang ada rasa seram. Sebab saya lihat dinosaur itu seperti hidup. Bunyinya pun sudah menakutkan,” katanya. – BHOnline