Kuala Lumpur: Lebih 1,000 kakitangan dan tetamu jemputan diraikan di majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) sempena Aidilfitri di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.
Majlis bermula 2 petang itu mengangkat tema Media Prima RaRa Macam Dulu-Dulu dan dihoskan oleh Ally Iskandar serta Diana Rusdi.
Pelbagai hidangan enak termasuk makanan tradisi disediakan buat kakitangan dan tetamu yang diraikan.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios Nini Yusof, Ketua Pegawai Operasi (COO) Tonton, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Ketua Pegawai Pemasaran MPB, Amir Rasyidi Johari dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Kumpulan The New Straits Times Farrah Naz Karim.
Sebagai selingan, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip, Ramlah Ram, Elly Mazlein dan Haziq Rosebi.
Lebih menambah kemeriahan adalah persembahan sketsa muzikal dan nyanyian daripada kakitangan MPB terdiri daripada wakil NSTP, Big Tree serta Omnia.
Dalam pertandingan itu, NSTP dengan nama kumpulan NSTP MUSM berjaya merangkul tempat pertama selepas membawa tema persembahan Raya Muda Mudi Dulu dan Kini.
Turut diadakan, cabutan bertuah dan hadiah pakaian terbaik. – HMOnline | BHOnline