Kuala Lumpur: Kakitangan dan pelajar dalam sektor pendidikan berpeluang mendapatkan pakej kandungan format digital atau e-paper terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada harga istimewa.
NSTP yang menerbitkan akhbar Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) menawarkan promosi itu sepanjang tahun ini.
Pengurus Langganan Digital dan Akhbar NSTP Tengku Kaifimirza Tuan Cherit berkata, langganan bagi satu e-paper selama setahun hanya RM31.80 berbanding harga biasa iaitu RM168.40.
Katanya, bagi yang memilih untuk melanggan dua e-paper, pakej yang ditawarkan hanya RM53 berbanding RM210.94.
Manakala untuk tiga e-paper, hanya RM74.20 berbanding RM253.34.
“Promosi ini hanya terbuka kepada kakitangan dan pelajar di sektor pendidikan sahaja dan mereka yang melanggan pakej berkenaan turut akan mendapat cenderahati sebagai tanda penghargaan.
“Promosi ini bukan sahaja bertujuan untuk menarik lebih ramai orang untuk melanggan tetapi menggalakkan membaca e-paper dengan lebih mudah di mana-mana sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pameran sempena Majlis Naratif Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Besar UPM di sini, hari ini.
Pada pameran itu juga, mereka yang membeli akhbar BH turut menerima cenderahati iaitu Teh Cap Panglima dan pembasmi kuman Walch.
Tengku Kaifimirza berkata, pihaknya juga bercadang untuk ke institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bagi mempromosikan berkenaan pakej itu.
Katanya, mereka yang berminat untuk mendapatkan promosi istimewa itu boleh menghubungi talian 1-300-22-6787 sambungan 7755.
Sementara itu, beliau berkata, mereka yang mahu melanggan akhbar cetak untuk dihantar ke rumah turut boleh berbuat demikian.
Katanya, dua pakej ditawarkan iaitu pakej akhbar cetak rumah daripada Isnin sehingga Ahad berharga RM480 untuk setahun dan pakej akhbar cetak pejabat daripada Isnin sehingga Jumaat (RM324).
“Menariknya, mereka yang melanggan salah satu pakej itu turut boleh memilih untuk turut mendapatkan e-paper dengan tambahan hanya RM20 sahaja,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan langgan akhbar cetakan, boleh layari subscription.nstp.com.my.
Sementara itu, pegawai tadbir UPM Norlida Zamberi berkata, promosi yang ditawarkan amat berpatutan dan berbaloi untuk dilanggan.
Katanya, dalam era ketika ini, e-paper sudah menjadi satu keperluan untuk mendapatkan berita hanya di hujung jari.
“E-paper adalah satu kaedah membaca akhbar yang lebih mudah dan promosi untuk sektor pendidikan ini amat sesuai dalam keadaan sekarang,” katanya.
Pembantu tadbir UPM Maryam Ahmad Nainy berkata, e-paper amat mudah digunakan berbanding akhbar cetakan kerana mudah dibawa ke mana-mana.
“Malah lebih menarik, e-paper ini apabila terlepas membaca akhbar hari sebelum ini, masih tetap boleh dicari untuk dibaca lagi,” katanya. – HMOnline