Putrajaya: Sebanyak satu tan beras bakal diberikan secara percuma di reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Putrajaya Edisi Raya, jam 3 petang, hari ini.
Pengurus Besar Pengedaran NSTP Prakash Munusamy berkata, beras tajaan daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) itu antara tawaran istimewa yang disediakan khas buat pengunjung.
“Di reruai NSTP kami sediakan pelbagai tawaran menarik khas buat pengunjung. Macam hari ini, kami akan edarkan satu tan atau 1,000 kilogram (kg) beras tajaan Bernas. Kiranya, 1,000 orang akan berpeluang membawa pulang beras ini secara percuma.
“Kami mahu setiap pengunjung yang datang ke reruai NSTP tidak pulang dengan tangan kosong. Pendek kata, masuk reruai kami ada macam-macam,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, turut ditawarkan adalah cabutan bertuah berupa pakej penginapan di Hotel Everly Putrajaya dengan anggaran RM7,000.
Antaranya penginapan dua hari satu malam untuk 10 pemenang, 20 ‘pass’ bufet makan tengah dan 10 ‘pass’ gimnasium selama enam bulan.
Selain itu, tarikan utama di reruai NSTP adalah Dino Land yang berkonsepkan ‘glow in the dark’.
Menurutnya, pengunjung hanya perlu membayar RM20 untuk seisi keluarga selain diberikan ‘goodies’ dengan pelbagai barangan.
“Dino Land ini adalah kali keenam kita buat atas permintaan pengunjung. Malah, di KJH ini, Dino Land juga adalah tarikan pengunjung yang sentiasa dinantikan kerana menawarkan pengalaman yang berbeza.
“Konsep yang dibuat ini bukan saja satu bentuk hiburan semata, tapi juga menggembirakan pengunjung.
“Bayaran tiket RM20 itu membolehkan mereka membawa pulang pelbagai barangan secara percuma termasuk tiga surat khabar terbitan NSTP secara percuma,” katanya. – HMOnline