Putrajaya: Reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) meriah dengan sambutan pengunjung sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Putrajaya Edisi Raya, di sini, hari ini.
Pengarang Urusan Kumpulan, NSTP merangkap Pengarang Kumpulan akhbar Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, sambutan diterima itu bukti sokongan orang ramai terhadap jenama NSTP serta KJH yang dianjurkan oleh Media Prima Berhad (MPB).
“Kita memang menjangkakan sambutan akan ramai pada hari ini dan esok kerana hujung minggu. Malah, kebiasaan KJH memang begitu terutama pada waktu puncak di sebelah petang hingga ke malam.
“Berdasarkan rekod sebelum ini pun, KJH mencatatkan ratusan ribu pengunjung dan kali ini dijangka sama juga. Sedikit sebanyak reruai NSTP juga mendapat sambutan dan memang meriah.
“Ditambah pelbagai barangan atau ‘goodies’ diberikan secara percuma kepada pengunjung yang singgah terutama kepada mereka yang masuk ke Dino Land,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Reruai NSTP hari ini.
Turut hadir pada acara itu ialah Pengarang Eksekutif (Kandungan) akhbar Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Timbalan Pengarang Kumpulan akhbar Berita Harian M Thillinathan, dan Pengarang Kumpulan, akhbar The New Straits Times Farrah Naz Karim.
Turut serta ialah Ketua Pegawai Operasi, Print Towers Sdn Bhd Luqman Adrienne, Pengurus Besar, Operasi Perniagaan, Sokongan Pemasaran dan Jualan NSTP Aswan Abdul Kadir, Ketua Pegawai Kewangan NSTP Fadzli Mustapha, dan Pengurus Besar, Pengedaran, Print Towers Sdn Bhd Prakash Munusamy.
Ahmad Zaini berkata, tarikan utama di reruai NSTP adalah Dino Land yang menawarkan pengalaman baharu dalam terowong ‘dinosaur’ buat seisi keluarga.
“Ini tahun kedua dan kali keenam kita membawa Dino Land pada edisi KJH. Cuma, berbeza kali ini apabila konsep yang dibawa lebih menghiburkan dan menarik iaitu ‘glow in the dark’.
“Macam KJH Putrajaya tahun lepas kita tak bawa Dino Land, tapi tahun ini kita sediakan. Ia juga atas permintaan orang ramai. Insya-Allah, kita cuba untuk bawa Dino Land ini pada KJH seterusnya,” katanya.
Pada masa sama, NSTP mengedarkan 500 paket beras dan 2,000 roti secara percuma kepada pengunjung yang turut serta memeriahkan acara pelancaran itu.
Beras tajaan daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) itu antara tawaran istimewa yang disediakan khas buat pengunjung.
Manakala 500 lagi paket beras akan diedarkan esok iaitu pada hari terakhir KJH.
Selain itu, turut ditawarkan adalah cabutan bertuah berupa pakej penginapan di Hotel Everly Putrajaya dengan anggaran RM7,000.
Antaranya penginapan dua hari satu malam untuk 10 pemenang, 20 ‘pass’ bufet makan tengah dan 10 ‘pass’ gimnasium selama enam bulan. – HMOnline