SUNGAI PETANI: Sejumlah 21,000 naskhah akhbar terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) diedar secara percuma kepada pengunjung Pesta Buku Kedah (PBK) 2023 yang berlangsung di Village Mall di sini, bermula hari ini, hingga Sabtu depan.
Pengurus Pengedaran Akhbar NSTP Kedah dan Perlis, Wan Zarifah Wan Ibrahim, berkata akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) diedarkan sebagai tanda penghargaan kepada pembaca yang sentiasa menyokong ketiga-tiga penerbitan itu sejak sekian lama.
“Kita juga berterima kasih kepada penganjur iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) yang sudi memberi peluang kepada NSTP untuk mengedarkan akhbar kita pada kali ini.
“Pengedaran akhbar ini dilihat dapat memupuk budaya minat membaca dalam kalangan orang ramai, terutama generasi muda yang berkunjung ke program sebegini,” katanya selepas majlis perasmian program berkenaan di sini, hari ini.
Pesta Buku Kedah 2023 dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff. Hadir sama EXCO Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad.
Sementara itu, Halimaton berkata, penganjuran PBK yang masuk kali ke-11 tahun ini, berjaya menghimpunkan lebih 50 reruai terdiri daripada pempamer seluruh negara.
Katanya, pengunjung PBK dijangka mencecah sehingga 150,000 orang berikutan pelbagai promosi dianjurkan bagi mempromosi program selain turut dibantu rakan kerjasama lain.
“Pesta buku ini pastinya ditunggu golongan penulis, pembaca dan peminat buku dan pastinya akan ada buku terkini karya penulis tempatan bakal dilancarkan di acara ini nanti.
“Kita mengharapkan lebih banyak buku berkualiti dihasilkan penulis tempatan dan masyarakat mengambil manfaat daripada penghasilan bahan berkenaan,” katanya ketika berucap.
Beliau berkata, dalam keadaan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, lambakan program hiburan santai, krisis politik antarabangsa dan dalam negara, masyarakat perlu tetap menjunjung tinggi semangat membaca, berfikir dan mencintai ilmu.
Katanya, kewujudan masyarakat berilmu dan berfikir inilah perlu menjadi keutamaan negara dalam mencapai status peradaban. – BH Harian